PAS tidak akan menyokong Datuk Seri Najib Razak mahupun Tun Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan perdana menteri, menurut Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Saari.

Beliau berkata tidak perlu PAS terperangkap dengan gesaan Dr Mahathir agar parti itu untuk mmilih dirinya atau Najib sebagai calon perdana menteri.

Pada Selasa lalu, Dr Mahathir, yang dinamakan calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) meminta PAS untuk mendedahkan sama parti itu menyokong dirinya atau Najib.

“Kita nak tahu PAS ni nak bertanding siapa calon perdana menteri dia? Calon Najib ke, calon saya ke, itu kita nak tahu,” kata bekas perdana menteri yang berusia 93 tahun itu.

Hakikatnya, kata Ahmad Fadhli, PAS berada di landasan betul dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 dengan meletakkan agenda Gagasan Sejahtera sebagai paltform untuk menawan undi rakyat.

Gagasan Sejathera, selain PAS dianggotai oleh IKATAN dan Parti Cinta Malaysia (PCM), yang disebut sebagai alternatif kepada kedua-dua BN dan HARAPAN.

IKATAN diketuai oleh bekas menteri Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir manakala PCM diterajui oleh Datuk Huan Cheng Guan, bekas naib presiden Gerakan.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menyatakan bahawa PAS tidak bersama BN dan juga tidak bersama HARAPAN yang sudah cukup untuk difahami sebagai pendirian PAS pada hari ini.

“Agenda PAS bukan terhenti setakat menobatkan perdana menteri tetapi lebih kepada menukar dasar pentadbiran negara kepada landasan syariah dan berkebajikan.

“Siapapun yang menjadi perdana menteri bukanlah merupakan satu keutamaan kerana yang lebih penting ialah dasar yang akan dikemukakan ialah asas yang boleh menjanjikan kebajikan untuk rakyat,” katanya dipetik sebagai berkata dalam Harakah Online.

PAS, menurut beliau, tidak mahu terperangkap dengan agenda mengangkat semula individu yang telah terbukti banyak melaksanakan dasar-dasar yang menyusahkan rakyat dan menjahanamkan iklim politik negara .

“Namun, jika PAS perlu juga untuk menjawab, cukuplah sekadar jawapan, Of two evils, choose neither,” katanya.