Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Sedar tidak sedar bulan September akan datang pada tahun ini gerakan reformasi yang tercetus akibat pemecatan Anwar Ibrahim akan genap usianya 20 tahun.

Reformasi menumbuhkan Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya bercantum dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Reformasi sebagai agenda politik bermaksud perubahan sistem politik, ekonomi, budaya dan sosial melalui cara-cara, kaedah dan proses dalam sistem negara itu sendiri.

Reformasi bukanlah revolusi politik, suatu perubahan sistem politik negara yang berlaku secara pantas, cepat, huru-hara.

Dan jarang sekali ada revolusi yang tidak bergenang darah, misalnya Revolusi Bolshevik di Russia, Revolusi Kemerdekaan Indonesia atau Revolusi Kaum Tani pimpinan Mao Zedong di China.

Gerakan reformasi menganjurkan siri demonstrasi jalanan sepanjang tahun-tahun 1998 ke 2003, yang menurut sesetengah sarjana dan pengkaji politik dinamakan tempoh waktu itu sebagai era Reformasi.

Bagaimanapun, kadangkala disempitkan pula kepada sekadar gerakan demonstrasi jalanan mendesak pembebasan Anwar Ibrahim semata-mata.

Demonstrasi pada waktu itu sebenarnya bagi menegakkan hak berhimpun secara aman yang terkandung dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Di sini jelas, reformasi suatu gerakan politik aman, antikeganasaan, berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang dan keadilan.

Ia bukan mahu menghancurkan sistem bernegara yang diamalkan Malaysia, tetapi mahu memperbaiki sistem itu yang dilihat dirosakkan Umno-BN yang memerintah Malaysia sejak tahun 1957 lagi. Umno, sebuah parti pemerintah yang dipilih melalui pilihan raya paling lama di dunia.

Reformasi mengembalikan gagasan pakatan politik pembangkang bagi menghadapi parti pemerintah Umno-BN dengan taktik satu lawan satu dalam strategi barisan bersatu pada pilihan raya umum.

Suatu gagasan yang mendapat ilham daripada sejarah pakatan politik Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (AMCJA)sebelum merdeka, Barisan Sosialis (muafakat Parti Buruh dan PRM) selepas merdeka dan pada PRU8 dan PRU9 pakatan Angkatan Perpaduan Ummah (PAS dan S46) serta Gagasan Rakyat (DAP, PRM, S46 dan PBS).

Maksudnya sebagai gerakan politik tanah air Reformasi sudah teruji, mampu bertahan selama tempoh waktu itu.

Ketahanan gerakan Reformasi berupaya mengharungi pelbagai bentuk cabaran lebih-lebih lagi cara berpolitik kepartian Malaysia yang penuh dengan intrik, muslihat gelap dan strategi yang menipu.

BN ambil agenda reformasi

Justeru hari ini, selain daripada perubahan zaman yang dibawa teknologi maklumat, kita dapat melihat Umno-BN mengambil agenda-agenda yang diperjuangkan gerakan reformasi pada dua dekad yang lalu.

Dalam banyak hal pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak - yang walau pun boleh diperdebatkan lagi - sedikit sebanyak telah mengambil agenda reformasi dengan pelaksanaan beberapa dasar dan perubahan undang-undang.

Misalnya BR1M mengambil tuntutan reformasi untuk agihan kekayaan ekonomi negara yang lebih saksama. Ataupun kerajaan Umno-BN menghapuskan hanya empat tol sahaja.

Benar agenda reformasi diserap menjadi agenda kerajaan. Tapi awas, ada bezanya barang 'ori' dan barang palsu.

Banyak perubahan yang telah dilakukan kerajaan Umno-BN yang mengambil agenda reformasi sebenarnya bersifat kosmetik, mementingkan imej, penampilan daripada intipati sebenar satu dasar reformasi yang tuntas dan menyeluruh.

Ini kerana bebanan sejarah pemerintahan Umno BN yang hampir 70 tahun itu tidak memungkinkan mereka berubah melaksanakan agenda reformasi yang sebenarnya.

Memang diberikannya BR1M melalui tangan kanan yang rapat dirakam kamera, dibesar-besarkan dan disebarkan ke merata dunia, tetapi dalam masa yang sama, tangan kirinya dalam gelap mengambil wang jerih payah rakyat dengan cukai GST.

Benar segala penghulu, ketua kampung, tok- tok Sidang, tok imam dan tok siak ditaja menunaikan haji.

Tetapi dalam masa yang sama lihatlah bagaimana indah dan bahagianya Jho Low berjoli katak bersama bintang-bintang Hollywood dan model ternama dunia di atas kapal persiaran yang yagn dikaitkan dengan duit 1MDB.

Alangkah baiknya duit ini diguna membantu pendidikan atau belanja perubatan rakyat.

Sama juga halnya dengan penghapusan empat tol itu. Pada masa yang sama, dalam keadaan gelap banyak perjanjian konsesi tol yang dilanjutkan tempohnya. Yang empat dihapus dicanang-canangkan, yang banyak disambung disenyap-senyapkan.

Tetapi adakah betul tanggapan rakyat Malaysia itu benar-benar bodoh hinggakan seolah tidak tahu yang mereka ditipu selama pemerintahan Umno-BN sejak kemerdekaan lagi?

Saya petik satu perenggan ikrar penting Anwar Ibrahim yang dilafazkan beliau sebagai Deklarasi Permatang Pauh, pada 12 September 1998, sebuah dokumen sejarah penting gerakan reformasi bagi renungan bersama.

“Gerakan reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan.”

Untuk saya tiada paksaan dalam perjuangan. Tiada paksaan untuk kita memilih sesiapapun. Buatlah apa-apa pilihan sekalipun selagi ia tidak membawa mudarat atau jenayah. Cuma saya akan berbesar hati jika rakyat Malaysia memilih Pakatan Harapan serta calon PM dan TPM-nya.

Reformasi mereformasikan Mahathir

Setelah hampir dua dekad, sebenarnya Reformasi telah berjaya mereformasikan Dr Mahathir Mohamad sendiri. Jika tidak, beliau pada waktu itu tidak akan meletakkan jawatannya. Tetapi beliau memang seorang reformis, beliau meletakkan jawatannya pada 2003.

Cuba bersara dari politik, tetapi mendapati pentadbiran Abdullah Badawi tidak cukup kuat melaksanakan perubahan yang diingininya. Selanjutnya Najib Razak terus memadamkan harapan beliau yang Umno boleh direformasikan ketika berkuasa.

Pada PRU14 mendatang ini, Mahathir akan menjadi nakhoda yang mengemudi kapal pembangkang dalam ribut politik kleptokrasi yang dahsyat.

Benar Mahathir punya sejarah pemerintahan yang dipertikaikan ramai pihak. Tetapi ramai pihak juga yang menyokong beliau.

Sejujurnya semua kita mempunyai sisi putih tentang Mahathir. Yang membezakan hanyalah berapa besarkah sisi hitamnya menurut pandangan masing-masing.

Barangkali kesempurnaan hanya hadir dalam keseimbangan. Paling penting kemaafan telah dipinta Dr Mahathir dan sewajarnya silaturahim terjalin kembali antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim, kembali pada keadaan sebelum pemecatan Anwar.

Saya teringat petikan lagu “Maafkan Kami” yang dinyanyikan seniman agung P Ramlee dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

“Wahai cik adik jangan marah sangat sedangkan Nabi ampunkan umat
Kalau cik adik mukanya kelat
Kelubang jendela kami nak lompat nandung nandung dayang senandung
Wahai saudari maafkan kami”

Cukuplah. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Mulai hari ini, kita berdamai untuk bergerak maju ke hadapan.

Benar rakyat Malaysia ditipu selama ini tapi rakyat tidak bodoh dan dungu. Teknologi terkini dengan aliran deras arus maklumat telah menyampaikan hampir segala-galanya kepada semua orang.

Makanya, tak perlu kita memaksa sokongan. Kita boleh bertukar-tukar pendapat dan pandangan, biarlah rakyat membuat pilihan dan saya yakin rakyat akan membuat pilihan yang bijak, sepintar teknologi terkini yang ada di tangan mereka.

Semesta telah berada di hujung jari. Mengundilah HARAPAN untuk Malaysia yang lebih baik.


KHAIRUL ANUAR AHMAD ZAINUDIN adalah anggota PKR, juga bekas aktivis mahasiswa era reformasi yang pernah ditahan ISA dan pernah bertanding di parlimen Pekan melawan Najib Razak pada PRU 12.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS