Kedah tawar rebat 50% tunggakan denda lewat bayar cukai tanah
Kerajaan negeri Kedah menawarkan pengurangan rebat 50 peratus sehingga 31 Mei ini ke atas tunggakan denda lewat menjelaskan cukai tanah.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din berkata penawaran tersebut diputuskan melalui mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 8 Nov tahun lalu dan ia berkuat kuasa serta merta pada tarikh itu.
“Ini merupakan satu daripada inisiatif bagi meningkatkan rasa tanggungjawab rakyat terutamanya terhadap pemilik tanah bersyarat industri yang mempunyai skala yang besar untuk menjelaskan tunggakan cukai sewa tanah mereka.
Orang ramai perlu merebut peluang ini untuk menjelaskan tunggakan cukai mereka kerana pengurangan yang ditawarkan adalah sangat tinggi dan tiada had maksimum yang ditetapkan untuk pengurangan tersebut,” katanya.
Beliau memberitahu pemberita demikian setelah menyampaikan perutusan di Program Perutusan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan Amanat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kedah 2018.
Sehubungan itu beliau berharap agar semua anggota pentadbiran tanah di negeri ini dapat memainkan peranan dengan lebih proaktif bagi mengenal pasti pemilik-pemilik tanah yang mempunyai tunggakan tinggi supaya segera menjelaskan cukai tanah mereka.
Sehingga tahun lalu, kerajaan negeri merekodkan jumlah tunggakan cukai tanah terkumpul berjumlah lebih RM60 juta membabitkan 226,932 hak milik tanah.
Daripada jumlah itu Bakar berkata kebanyakannya terdiri daripada kategori bangunan iaitu sebanyak 145,159, pertanian (78,739) dan industri sebanyak 1,678 hak milik.
Pada 2017, PTG merekodkan jumlah kutipan hasil sebanyak RM39.9 juta iaitu pertambahan RM65.1 juta berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, Bakar turut berharap agar tanah berskala besar di negeri ini yang masih berstatus Sijil Simpanan (RC) dilupuskan kepada pihak tertentu sebagai satu daripada usaha meningkatkan kutipan hasil kepada kerajaan negeri.
"Contohnya Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Kepala Batas yang perlu dilupuskan kepada kerajaan persekutuan. Sudah tiba masanya kita mengambil langkah drastik dan proaktif untuk segera mengenal pasti RC yang terdapat di tanah tersebut untuk dilupuskan," katanya.
Bakar menjelaskan langkah pelupusan tersebut mungkin boleh dijadikan sebagai satu daripada petunjuk prestasi kepada PTG untuk meningkatkan kutipan cukai dalam pentadbiran tanah di setiap daerah.
- Bernama

