'Anggota SPRM tak lagi ditempatkan di agensi kerajaan'
Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) SPRM yang ditugaskan untuk membasmi gejala rasuah di agensi kerajaan telah ditarik balik.
Menurut laporan New Straits Times, 47 CeIO yang ditempatkan di beberapa kementerian dan agensi kerajaan telah digantikan dengan pegawai integriti dalaman yang akan melapor terus ketua jabatan masing-masing.
Memetik sumber, akhbar itu melaporkan bahawa terdapat kebimbangan mengenai keputusan itu, termasuk sama ada SPRM akan dihalang daripada menjalankan tugas-tugas pembongkarannya, serta ketelusan siasatan dalaman.
"CeIO dilatih untuk mengenal pasti rasuah dan salah guna kuasa serta mereka menjalankan siasatan tanpa berat sebelah.
"Apa akan berlaku jika ada kakitangan dalam organisasi itu tampil ke pejabat PTD untuk melaporkan salah laku pihak atasan mereka yang korup, yang juga adalah bos mereka?
"Sanggupkah mereka berdepan dengan pihak atasan mereka?” soal sumber yang dipetik itu sebagai berkata.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Paul Low ketika dihubungi memberitahu Malaysiakini bahawa kenyataan rasmi akan dikeluarkan mengenai perkara itu tidak lama lagi.
Antara pendedahan yang dibuat oleh CeIO adalah beberapa kes berprofil seperti yang membabitkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Kementerian Belia dan Sukan.
Tanpa dimaklumkan anggota SPRM itu ditempatkan di pelbagai agensi berisiko tinggi sejak enam tahun yang lalu, dan dikatakan telah menimbulkan rasa takut terhadap rasuah di kalangan penjawat awam.
Mereka dilaporkan telah mengemukakan 4,000 aduan, 1,600 daripadanya telah disiasat sehingga peringkat akhir.
Penubuhan Jabatan Integriti
Sementara itu, SPRM dalam kenyataannya petang ini berkata penggantian pegawainya itu dibuat selaras dengan keputusan kerajaan untuk menubuhkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) baru-baru ini.
“SPRM ingin menegaskan bahawa penubuhan JITN tidak akan sama sekali menjejaskan fungsi dan tanggungjawab SPRM dalam usaha-usaha untuk memastikan agensi-agensi kerajaan bebas daripada isu-isu penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa,” kata badan itu.
SPRM juga berkata mereka telah mewujudkan unit-unit pemantauan khas bagi memantau isu-isu penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa di agensi-agensi kerajaan yang berisiko tinggi, sederhana dan rendah.
“Selaras dengan fungsi pencegahan di bawah akta SPRM, SPRM akan terus memastikan tadbir urus agensi-agensi kerajaan bebas daripada isu-isu penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa dari semasa ke semasa,” katanya.

