Paling Popular
Terkini

Rentetan cadangan Pakatan Harapan (HARAPAN) mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, wakil-wakil pemuda parti pembangkang disatukan sepentas bagi membahaskan cadangan tersebut.

Forum bertajuk 'Adakah Mahathir solusi terbaik untuk Kelantan dan Malaysia?' anjuran komuniti Facebook Aktivis Kelantan akan dilangsungkan jam 8.30 malam di Dewan Seminar Aflah, Wira Aveneu, Kota Bharu, Sabtu ini.

Wakil penganjur, Wan Muhiddin Asyrafi Wan Baruddin berkata, inisiatif penganjuran dibuat susulan wujud perbahasan di media sosial melibatkan isu berkenaan.

Forum itu akan menampilkan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari; Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Hazmi Hassan; aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard); wakil PKR Kelantan, Aina Sayuti; wakil Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kelantan, Deen Qassim dan wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM) Kelantan, Mohd Khairul Nizam Abd Ghani.

"Alhamdulillah setakat ini semua panelis yang dijemput bersedia untuk hadir untuk berbahas tajuk yang dikemukakan," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu Hazmi Hassan (gambar, atas) ketika dihubungi berkata, beliau berharap semua pihak dapat melontarkan pendapat masing-masing secara matang dan menjauhi sebarang bentuk provokasi.

"Apa yang penting kita meraikan pendapat untuk dinilai masyarakat khususnya orang muda seluruh negeri Kelantan," katanya.

Selain itu, Ahmad Fadhli yang juga naib ketua Pemuda PAS turut mengesahkan kehadirannya.

"Insya-Allah saya akan hadir untuk sampaikan mesej di samping berjumpa kawan-kawan lama," katanya.

 

Lihat Komen
ADS