Asyraf Wajdi beri nasihat buat Mahfuz
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyarankan ahli politik di negara ini tidak terlalu ghairah berpolitik mahu pun berkempen.
Sebaliknya, kata Asyraf mereka dituntut supaya menjaga adab dan akhlak masing-masing dan tidak sesekali melangkaui batas dan nilai sehingga sanggup memperjudikan agama dan moral.
Mengulas isu ucapan dibuat Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, Asyraf berkata sebagai wakil rakyat dan ahli politik veteran beliau sepatutnya memberikan contoh teladan yang baik kepada rakyat.
"Tindakan mengheret institusi raja atas apa jua alasan dalam menjustifikasikan pendirian politik adalah suatu yang tidak beradab. Apatah lagi mempersendakan tuanku sultan,” tegas Asyraf dipetik Sinar Harian.
Pada 17 Jan lalu Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan kemurkaan terhadap ucapan Mahfuz dalam satu satu ceramah politiknya.
Kata Tengku Abdullah baginda tersinggung dengan tindakan Mahfuz dan menganggap bekas naib presiden PAS itu melanggar tatatertib Melayu.
Berjiwa luhur, berjati diri
Berikutan itu, beberapa pihak kemudian membuat laporan polis berhubung tindakan Mahfuz.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Mior Farid Al Atrash Wahid dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
Pada masa sama Malaysiakini melaporkan Mahfuz memohon maaf atas kenyataannya itu jika ia menyinggung perasaan pihak istana Pahang.

Menurut Asyraf, institusi raja-raja Melayu bukan sekadar simbol tetapi lambang kedaulatan agama dan martabat bangsa yang berpaksikan nilai moral dan adab tatasusila yang luhur bagi bangsa Melayu.
Justeru sebarang aksi dan tindakan berupa penghinaan kepada insitusi terbabit boleh dianggap sebagai pencabulan kepada kedaulatan dan martabat agama dan bangsa.
“Sudah tiba masanya penjernihan budaya baru dilakukan ke atas ahli-ahli politik masa kini.
"Sebagai pemimpin siasah, seseorang itu harus sentiasa berjiwa luhur dan berjati diri kental berteraskan prinsip agama dan akhlak.
"Janganlah kerana terlalu taasub dan ghairah berparti dan berpolitik, kita akhirnya sanggup membelakangi prinsip agama dan memperjudikan maruah bangsa.
"Institusi Raja-raja Melayu mesti sentiasa dihormati dan didaulatkan demi kelangsungan generasi masa depan yang bermaruah dan beradab,” katanya.

