Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cuma PAS tak ada masalah bahagi kerusi
Diterbitkan:  Jan 19, 2018 1:19 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

Menaruh harapan untuk melihat bulan mengambang terang di Johor, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu tidak berdepan sebarang masalah menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya berbeza daripada BN dan Pakatan Harapan (HARAPAN) PAS adalah satu-satunya parti yang tidak berdepan sebarang masalah untuk pembahagian kerusi bersama sekutu politiknya

Lebih daripada itu Tuan Ibrahim menyatakan PAS bersama kumpulan Gagasan Sejahteranya tidak sibuk membincangkan isu mengenai jawatan - berbeza daripada HARAPAN yang baru-baru ini mengumumkan calon perdana menteri mereka.

"Jawatan kita tak bincang sebab apa? (Sebab) kambing belum bela lagi, jadi tak usah bincang nak bahagi untung berapa," katanya secara berkias.

Semalam Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah turut menjawab isu berkenaan menggunakan perumpamaan "isteri belum mengandung, tetapi bising dengan nama anak".

Apa yang dipentingkan PAS bersama Gagasan Sejahtera kini, menurut Tuan Ibrahim, ialah memberi fokus kepada kebajikan rakyat.

"Selesai masalah rakyat, insya-Allah rakyat akan beri harapan kepada parti yang menjaga dan memelihara hak mereka, dan itu adalah PAS bersama Gagasan Sejahtera," katanya dipetik Sinar Online semasa menghadiri sesi Dialog Perdana anjuran PAS Tenggara, di Kota Tinggi, Johor malam tadi.

Komited nak tukar dasar

Konvensyen HARAPAN pada 7 Jan lalu mengumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri manakala timbalannya ialah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Cadangan itu mendapat reaksi yang pelbagai sama ada dari dalam HARAPAN mahu pun luar gabungan dianggotai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu.

PAS turut bersikap sinis dengan cadangan HARAPAN berkenaan. Ia mendorong Dr Mahathir bertanya kepada parti terbabit, siapakah calon perdana menteri mereka.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan semalam berkata parti itu hanya akan membincangkan isu berkenaan apabila tiba waktu yang sepatutnya.

Dihubungi Malaysiakini beliau juga menjelaskan PAS berpegang kepada hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Kepimpinan itu milik Allah, Dia (Allah) yang akan mendatangkan sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Bagi menghadapi PRU ke-14 - yang mesti diadakan selewat-lewatnya Ogos ini - PAS mengambil jalan sendiri dengan menubuhkan Gagasan Sejahtera.

Satu daripada parti yang menyertai gagasan itu ialah Parti Ikatan Bangsa Malaysia pimpinan bekas menteri dan anggota Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Mengulas mengenai calon perdana menteri Tuan Ibrahim berkata langkah menukar seseorang tokoh tanpa melibatkan dasar tidak menjamin negara menjadi lebih baik.

Katanya, PAS bersama Gagasan Sejahtera mempunyai komitmen untuk mengubah dasar kerana sebelum ini negara pernah dilanda polisi yang rosak.

"Tukar individu tak menjamin negara jadi baik. Apatah lagi nak tukar (Datuk Seri) Najib, nak naikkan (Tun Dr) Mahathir (Mohamad)... lagi teruk," katanya.

Lihat Komen
ADS