Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu menyifatkan Datuk G. Palanivel sebagai 'leftenan' yang paling sesuai untuk jawatan timbalan presiden dan seterusnya mengambil alih kepimpinan MIC demi menjaga kepentingan parti dan masyarakat India.

Menurutnya, Palanivel adalah pemimpin yang berkebolehan dengan memiliki kualiti sebagai seorang pemimpin dan bersih dalam kebanyakan aspek dan juga "takutkan tuhan".

"Semua kualiti ini diperlukan untuk berkhidmat kepada orang ramai. Alim, mementingkan rakyat, bermurah hati kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan "Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia" di Shah Alam semalam.

Menurut Samy Vellu, Palanivel bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan kini Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga telah melaksanakan banyak program yang memberi faedah kepada masyarakat India.

Katanya, beliau memerlukan seorang leftenan yang baik "yang menyokong saya, boleh bekerja dengan saya, melakukan tindakan yang perlu untuk rakyat" dan beliau percaya Palanivel mampu menjalankan tugas itu.

Sekiranya anggota MIC berpendapat beliau dan Palanivel tidak sesuai bagi tugas itu, mereka patut menukar pucuk pimpinan parti, katanya.

Menurut laporan Bernam, Samy Vellu berkata walaupun beliau telah melihat prestasi baik beberapa pemimpin generasi muda dalam MIC, pilihan yang betul bagi jawatan nombor dua ialah Palanivel.

Tokoh paling sesuai

"Saya telah melihat generasi muda ( beberapa pemimpin) yang aktif. Mereka perlu bekerja lebih kuat lagi untuk meningkat. Pada ketika ini, beliau (Palanivel) merupakan tokoh yang sesuai untuk saya serahkan parti," katanya.

Beliau berkata pemimpin muda dalam MIC akan mengambil alih kepimpinan parti bila tiba masanya.

Samy Vellu turut menamakan beberapa pemimpin muda seperti Datuk S. Sothinathan dan Datuk S. Vigneswaran yang sesuai untuk menerajui parti di masa depan.

Ditanya bila beliau akan menyerahkan kepimpinan parti kepada Palanivel, Samy Vellu berkata: "Bila tiba masa yang sesuai dan apabila ada pemimpin yang sesuai, kemudian saya akan putuskan apa yang perlu dibuat. Saya pasti akan serahkannya pada masa yang sesuai dan saya akan putuskan bila masa yang sesuai."

"Saya mahu menyerahkan kepimpinan parti kepada tokoh yang berwibawa, boleh dipercayai, berkhidmat untuk masyarakat, memahami masyarakat, memenuhi harapan masyarakat dan menangis apabila masyarakat menangis," katanya.

Samy Vellu berkata Palanivel tiada masalah untuk bekerja sebagai satu pasukan untuk memperkukuhkan parti.

"Ramai daripada mereka boleh bekerja sebagai satu pasukan kecuali satu atau dua orang," katanya tanpa menyatakan siapakan mereka itu.

Semasa ditanya sama ada langkah beliau untuk menyatakan sokongan secara terbuka kepada Palanivel sebagai calon pilihannya akan memecahbelahkan parti, Samy Vellu berkata malahan kewujudan "perang proksi" tidak memecahbelahkan parti itu.

'Tidak sebut nama Subra'

Ditanya sama ada beliau tidak lagi boleh bekerja dengan Timbalan Presiden MIC sekarang Datuk S. Subramaniam, Samy Vellu berkata: "Saya tidak mahu menyebut nama Subra langsung di sini. Saya memutuskan untuk tidak berbuat demikian di masa depan."

Ditanya apakah maksud kata-katanya itu, beliau berkata: "Saya hanya katakan apa yang ingin saya katakan. Saya tidak mahu cakap mengenai orang lain."

Sementara itu, Palanivel melahirkan rasa bangganya apabila menjadi calon pilihan presiden Samy Vellu untuk merebut jawatan kedua tertinggi parti itu.

Palanivel berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memenuhi hasrat presiden parti untuk meneruskan perjuangan masyarakat India melalui MIC.

"Dia (Samy Vellu) telah menyatakan sokongannya terhadap saya dan membuat pengumuman dan ia bukan satu rahsia, semua anggota parti telah tahu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan mangsa ribut di Pusat Pengembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah (PPKKS) di Rawang semalam.

Palanivel bersedia

Pengumuman Palanivel sebagai calon pilihan dibuat Ahad melalui deklamasi sajak oleh Samy Vellu di hadapan pemimpin MIC bahagian Puchong dan Subang, secara langsung menamatkan teka-teki yang menyelubungi parti itu selama ini.

Keterbukaan Presiden MIC itu dalam membuat pengumuman berkenaan dilihat akan menambahkan lagi ketegangan hubungan beliau dan calon pilihannya dengan Timbalan Presiden sekarang Datuk S. Subramaniam.

"Dia (Samy Vellu) membuat kenyataan umum atas permintaan mereka (wartawan), sebab dia orang paksa-paksa, jadi presiden cakap sedikit-sedikit...," kata Palanivel.

Beliau bagaimanapun tetap menyerahkan kuasa memilih kepada anggota parti bagi menentukan calon yang benar-benar layak memegang jawatan timbalan presiden MIC.

"Pemilihan adalah melalui proses demokrasi, setiap orang berhak untuk mengundi. Ada masa lagi... ada lapan bulan lagi, ini satu kebiasaan yang berlaku dalam parti dan saya tidak suka menggunakan media untuk tujuan berkempen," katanya.

Beliau juga menyifatkan MIC sebagai sebuah parti yang telah matang sepertimana Umno, MCA dan Gerakan.

Justeru, ia dilihat berupaya untuk memilih serta mencadangkan calon pilihan anggota parti, katanya.