Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke secara sinis membidas Ketua Pemuda MCA, Senator Datuk Chong Sin Woon kerana mendakwa bahawa partinya berpeluang untuk merampas kerusi parlimen yang disandangnya.

Chong, yang berharap mampu menumbangkan wakil rakyat selama dua penggal itu pada pilihan raya umum akan datang, mendakwa DAP sedang berdepan dilema dalam menjelaskan keputusannya untuk menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan walaupun pernah mengkritiknya pada masa lalu.

"Ya. Ah Chong betul, "kata Loke dalam hantaran di Facebook petang ini.

"Saya tidak berani berjalan di bandar Seremban dan saya takut pergi ke pasar Seremban," kata setiausaha penganjur DAP itu.

Loke, yang juga menggunakan tanda pagar "#sarcasm" dan "#learn from Mahathir", berkata rakyat memarahinya kerana bekerja dengan "diktator" Mahathir untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Sungguh takut untuk menghadapi kempen pilihan raya kali ini. DAP dalam masalah besar kerana Dr M," katanya.

Terdahulu, Free Malaysia Today memetik Chong sebagai berkata bahawa pengundi Cina menyokong DAP dalam pilihan raya sebelum ini kerana mereka menjanjikan perubahan kerajaan.

"Sebelum ini, 85 peratus orang Cina menyokong perubahan kerajaan, tetapi kini mereka yang percaya sedemikian semakin kecil," katanya, yang mengaitkannya dengan Mahathir.

Chong berkata pengundi Melayu di Seremban adalah sasaran MCA, kerana kerusi itu mempunyai 44 peratus pengundi Melayu, 41 peratus Cina dan 14 peratus India.

Seteru DAP berulang kali menuduh parti itu sebagai “talam dua muka” kerana bekerjasama dengan Mahathir, yang pernah dituduh mereka sebagai rasisme, rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

Begitu juga, Umno turut menyerang Mahathir yang kini bersama dengan DAP apabila bekas perdana menteri dia pernah melabelkan parti Cina itu sebagai rasis pada masa lalu.