Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bilal Philips, Zamihan setuju jaminan kos RM30,000

Abu Ameenah Bilal Philips dan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) Zamihan Mat Zin mencapai persetujuan yang pendakwah Kanada itu akan membayar RM30,000 sebagai jaminan kos dalam kes saman RM1 juta terhadap Zamihan.

Jumlah itu didedahkan peguam Bilal Philips, Meor Amir Meor Omar Baki selepas persetujuan itu dicapai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

"Kedua-dua pihak bersetuju dengan jumlah itu dan ia akan didepositkan.

"Mahkamah juga menetapkan 31 Julai hingga 3 Ogos ini untuk sesi pendengaran saman," katanya.

Jaminan kos boleh dikenakan jika plaintif yang memfailkan saman adalah bukan warganegara dan dikhuatiri tidak mampu membayar ganti rugi kos, jika kalah dalam perbicaraan.

Dalam kenyataan tuntutannya, Bilal Philips mendakwa posting laman Facebook Zamihan pada November tahun lalu memaparkan gambarnya dengan iringan kenyataan yang menggelarkannya sebagai pengganas antarabangsa.

Posting itu dibuat sebaik sebelum sebuah acara keagamaan di Perlis, yang menampilkan Bilal Philips sebagai salah seorang penceramah.

Pendakwah kelahiran Jamaica itu berkata tuduhan Zamihan bahawa beliau adalah penyokong keganasan adalah palsu, fitnah dan tidak berasas, memandangkan beliau sentiasa mempromosikan keamanan dan pemahaman Islam dan menolak keganasan yang dibuat atas nama agama.

Beliau juga berkata, tuduhan Zamihan bermaksud beliau secara aktif terlibat dalam keganasan dan menjadi matlamat ceramahnya, sedangkan beliau telah menulis lebih 50 buku tentang Islam dan terlibat dengan pelbagai program televisyen Islamik seperti "Peace TV", "Huda TV" dan "The Deen Show, Chicago".

Penceramah popular itu memegang ijazah sarjana muda dari Universiti Islam Madinah, ijazah sarjana dari King Saud University dan doktor falsafah dari University of Wales, Trinity Saint David, dan tersenarai dalam 500 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia untuk tahun ini.

Bilal Philips menuntut ganti rugi am lebih RM1 juta yang akan ditentukan oleh mahkamah, serta ganti rugi teruk dan teladan.

Lihat Komen
ADS