ISA: Siswa UM 'gagal' sambung belajar
Pemimpin pelajar Universiti Malaya Mohamad Fuad Mohd Ikhwan yang dibebaskan daripada tangkapan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dua minggu lalu masih gagal meneruskan pengajiannya hingga hari ini.
"Beliau dinasihatkan oleh bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) supaya tidak kembali mengikuti pengajian untuk sementara waktu," kata satu sumber pelajar kepada malaysiakini pagi tadi.
Menurut sumber itu, pengajian Mohamad Fuad "digantung seketika" sementara menunggu keputusan Kementerian Pendidikan sama ada presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) itu boleh menyambung kursusnya semula.
Pelajar jurusan syariah itu sepatutnya kembali mengikuti pengajiannya selepas universiti itu dibuka hari ini daripada cuti pertengahan semester selama seminggu.
Mohamad Fuad ditahan di bawah seksyen 73 (1) akta itu pada 6 Julai lalu dan dibebaskan 10 hari kemudian.
Universiti itu minggu lalu dilaporkan akan memanggil pemimpin pelajar itu bagi "memberi penjelasan dalam tempoh terdekat sebelum hukuman dijatuhkan."
"Kita akan memanggil pelajar ini untuk disoal siasat, selain maklumat daripada pihak keselamatan (polis). Pelajar ini (akan) mendapat perbicaraan yang adil sebelum hukuman dijatuhkan," kata Naib Canselor Profesor Datuk Dr Anuar Zaini Md Zain seperti dilaporkan akhbar Harian Metro Rabu.
Malaysiakini hari ini gagal menghubungi Anuar Zaini bagi mengesahkan perkara ini.
Seorang aktivis pelajar Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dilaporkan dipecat daripada Institut Kemahiran Mara (IKM) pada 9 Julai, empat hari selepas tangkapan mengiku ISA. Beliau dibebaskan tanpa syarat dua hari lalu.
Menurut surat yang dikeluarkan oleh IKM Petaling Jaya, aktivis pelajar itu dipecat "serta merta."
Dibicara Rabu ini
Khairul Anuar disingkir dengan alasan menjejaskan imej IKM serta Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan gagal menjawab surat tunjuk sebab kepada jawatankuasa tatatertib kolej itu.
Bagaimanapun Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad berkata kementeriannya tidak akan menyingkirkan Khairul Anuar kecuali sabit kesalahan.
"Bagaimanapun kemungkinan tindakan tatatertib akan diambil terhadapnya (Khairul Anuar)," Musa dipetik sebagai berkata.
Dalam perkembangan lain, Universiti Sains Malaysia terus mengambil tindakan disiplin terhadap empat pelajar yang menyertai pertandingan Debat antara Universiti-universiti Singapura dan Malaysia pada 20 hingga 27 Mei lalu.
Menurut laporan laman web berita berbahasa Cina Mytianwang.com semalam, empat pelajar itu, daripada Persatuan Bahasa Tionghua (PBT), akan dihadapkan semula kepada jawatankuasa tatatertib Rabu ini.
Mereka pernah dibicarakan di depan jawatankuasa itu 3 Julai dengan tuduhan menyertai pertandingan bahas tanpa keizinan USM, tetapi keputusan kes itu ditangguhkan.
Menurut laman web itu lagi, jawatankuasa itu juga menolak rayuan dua pemimpin pelajar yang dikenakan denda RM200 tiap seorang.
Pengerusi PBT Lee Yen Ting dan Setiausaha Agungnya Choo Chon Kai didapati bersalah awal bulan ini kerana mengkritik keengganan USM membenarkan pasukan debat menyertai acara itu kepada Sin Chew Jit Poh 19 Mei, sementara Choo didakwa mengeluarkan kenyataan kepada The Star pada 21 Mei.

