Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas hakim: Bagi mahkamah, kerajaan 'tidak akan berbuat salah'

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram hari ini membidas badan kehakiman kerana berulang kali membatalkan tindakan mahkamah yang melibatkan perdana menteri dan bersikap seolah-olah "kerajaan tidak akan melakukan kesalahan".

"Barisan hakim pada masa ini...berasa leceh untuk mengganggu kerajaan dengan tindakan mahkamah (yang difailkan terhadapnya).

"Maka mereka (melihat tindakan mahkamah itu sebagai) remeh dan menyusahkan dan tidak perlu dibawa ke mahkamah pun.

"Pepatah dahulu iaitu 'raja tidak akan berbuat salah' kini sudah menjadi 'kerajaan tidak akan berbuat salah'. Ini menyedihkan," katanya.

Sri Ram (gambar) berkata demikian ketika memberikan ucaptama bertajuk 'Mencabar Keperlembagaan undang-undang pra-Merdeka' ketika acara pembukaan auditorium baru Majlis Peguam Selangor di Shah Alam, hari ini.

Katanya, kritikannya itu berdasarkan bagaimana kenyataan tuntutan yang menamakan Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai defendan digugurkan oleh mahkamah.

"Walaupun kenyataan tuntutan itu berkata RM42 juta telah dimasukkan ke dalam akaun (peribadi Najib) daripada SRC International," katanya.

Beliau merujuk saman bekas Menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim terhadap Najib dan 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang sebelum ini digugurkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Rohani Ismail atas sebab ia "remeh dan menyusahkan".

Saman daripada Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dan anggota parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua terhadap Najib dan 1MDB juga mengalami nasib yang sama.

Menurut laporan, wang daripada SRC International - bekas subsidiari 1MDB - didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib melibatkan dua transaksi - pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menjalankan siasatan terhadap SRC International.

Sri Ram berkata, walaupun beliau pernah berbeza pandangan dengan keputusan mahkamah pada masa lalu, beliau dan bekas hakim lain mempertahankan kerajaan yang amanah dan mengambil berat terhadap rakyat.

"Mereka tidak mempertahankan kleptokrat," katanya lagi.

Najib berulangkali menafikan tahu tentang wang daripada SRC International dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membersihkannya daripada sebarang kesalahan.

Lihat Komen
ADS