Malaysiakini
BERITA

Hasrat Musa Aman jadikan Sabah seindah S'pura dan Dubai

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Jan 2018, 12:24 pagi

Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berhasrat menjadikan Sabah seindah Singapura dan Dubai menerusi beberapa perancangan dan transformasi baharu termasuk Pembangunan Eko Tanjung Aru (TAED).

Beliau berkata pembangunan TAED dapat mencantikkan dan mentransformasikan lagi wajah bandar raya Kota Kinabalu, sebagai ibu negeri Sabah, menerusi pembinaan hotel-hotel bertaraf antarabangsa serta pelbagai kemudahan lain.

“Hasrat saya besar, saya mahu, kalau boleh, Sabah seindah Singapura atau Dubai,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau di Kota Marudu semalam.

Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Turut hadir Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul.

Musa berkata kerajaan pusat turut memberi sokongan kepada kerajaan negeri dengan memberi peruntukan sebanyak RM500 juta bagi menjayakan pembangunan itu di Sabah.

TAED merupakan projek mega yang dilaksana dan diselia oleh Tanjung Aru Eco Development Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh kerajaan negeri Sabah. Projek itu dijangka siap pada 2019.

Sementara itu, Musa berkata pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), yang dijangka siap akhir pada tahun ini, berupaya menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini sekali gus memacu pembangunan di negeri itu.

Mengenai pembangunan pendidikan di Sabah, beliau berkata agenda pendidikan merupakan tumpuan kerajaan negeri dalam usaha memastikan pembangunan modal insan Sabah yang lebih efisien.

Sehubungan itu, beliau melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan pusat khususnya perdana menteri kerana begitu prihatin dalam aspek pembangunan pendidikan di Sabah menerusi peruntukan besar termasuk membaiki sekolah daif di seluruh negeri.

“Kami di Sabah merasa amat terharu atas keprihatinan seorang pemimpin kepada Sabah, kepada anak-anak dan guru-guru sekolah di Sabah.

“Sudah tentu, dengan adanya pembaikan sekolah, sesi pembelajaran anak-anak dan guru sekolah menjadi lebih baik sekali gus mendorong kepada pencapaian cemerlang,” katanya.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.