Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DBKL kaji atasi masalah trafik di Taman Lucky di Bangsar
Diterbitkan:  Jan 20, 2018 10:56 AM
Dikemaskini: 3:07 AM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedia mengkaji langkah terbaik dalam menangani isu kesesakan trafik di Taman Lucky di Bangsar selain turut menaik taraf infrastruktur awam di situ dengan segera.

Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah berkata masalah kesesakan trafik itu timbul selepas penduduk di taman berkenaan mengadu mengenai sikap pelanggan gerai makan berdekatan yang meletakkan kenderaan di bahu jalan sesuka hati hingga mengakibatkan kesesakan serius sejak pertengahan tahun lalu.

"Gerai makan di sini sentiasa dipenuhi pelanggan yang meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan hingga mengganggu lalu lintas. Disebabkan itu, penduduk sukar memasuki laluan ke rumah mereka kerana laluan itu sudah terhalang oleh kenderaan yang parkir di kawasan ini.

"Jadi, mereka (penduduk) cadangkan agar DBKL dapat jadikan beberapa jalan di sini sebagai jalan sehala. Namun ia perlu dilihat dari sudut kawasan lain juga,” katanya selepas sesi tinjauan di sekitar taman terbabit, di situ, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Umno bBahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Lucky, Datuk Fam SC.

Mahadi berkata DBKL akan bertemu semula dengan penduduk di situ bagi membincangkan penyelesaian jangka panjang dan pendek yang sesuai dan teratur agar isu-isu di sini dapat diselesaikan sebaik mungkin.

Katanya penyelesaian jangka pendek seperti kerja membaik pulih kemudahan awam seperti pondok telefon, tandas, struktur jalan dan laluan pejalan kaki di taman ini akan dilaksanakan segera agar ia dapat digunakan dengan selesa dan selamat.

Sementara itu, Raja Nong Chik berharap agar penjaja yang berniaga di sekitar Taman Lucky itu dapat berpindah ke lokasi lain yang tidak jauh dari lokasi asal.

"Tempat yang mereka (penjaja) berniaga di sini hanyalah tempat sementara sahaja dan jika mereka berpindah ke tempat lain, masalah kesesakan trafik di situ boleh diselesaikan. Sistem kawasan ini perlu diperbaiki semula memandangkan ia melibatkan kawasan perumahan dan aktiviti pusat komersial yang aktif," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS