Menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Anina Saadudin menggesa orang Melayu supaya mengundi parti yang akan memastikan survival generasi mereka yang akan datang.

"Sekarang orang Melayu dibahagi antara lima parti - Umno, BERSATU, AMANAH, PAS dan PKR.

"Dari satu bangsa yang besar kita terbahagi kepada kumpulan kecil. Ini bahaya untuk bangsa. Harus memikir tentang survival bangsa Melayu (di negara ini).

"Jangan undi untuk diri kita sendiri tapi undi untuk masa depan. Undi untuk anak cucu dan masa depan negara," katanya dalam sidang akhbar di majlis pelancaran NGO barunya - Empirical Malaysia.

Didaftarkan pada Oktober lepas, NGO itu bertujuan untuk menghasilkan kajian empirikal mengenai isu-isu ekonomi yang dihadapi oleh orang Melayu dan Bumiputera.

Jika politik Melayu gagal, tegasnya, maka keadaan ekonomi orang Melayu akan gagal kerana inisiatif ekonomi bergantung kepada inisiatif para pemimpin politik.

Jurang perbezaan ekonomi

Anina menjelaskan bahawa masalah ekonomi yang dihadapi orang Melayu adalah jurang perbezaan dalam keupayaan ekonomi berbanding kaum lain.

"Menyelesaikan perkara ini (jurang perbezaan) akan menyelesaikan isu yang lebih besar.

"Ia akan menyatukan semua kaum," katanya sambil menegaskan bahawa mempertahankan hak satu-satu kaum tidak bererti bersikap perkauman.

Sementara itu Anina menegaskan NGO yang ditubuhkannya adalah bebas dan tidak mendapat dana daripada kerajaan.

"Kita akan dapatkan dana daripada entiti swasta, dengan cara itu kita boleh komen terhadap sesiapa tanpa tangan kita terikat.

"Kita tidak mahu buat crowdfunding sebab kita tidak mahu bebankan rakyat. Tidak seperti Invoke, kita tidak perlukan dana berjuta," katanya merujuk badan kaji selidik yang diketuai naib presiden PKR Rafizi Ramli.

Anina, yang meninggalkan BERSATU September lalu selepas mengkritik bahawa parti itu tidak ditadbir dengan baik oleh pemimpin yang tidak boleh menerima kritikan, menambah beliau telah meninggalkan politik dan kini menumpukan pada Empirical Malaysia sebagai platformnya.

[Baca berita penuh]