Program Akademi Fantasia kutip RM12.25 juta melalui SMS
Rancangan realiti televisyen, Akademi Fantasia (AF) memperolehi RM12.25 juta hasil daripada undian melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) sepanjang tiga musim program hiburan itu disiarkan, kataTimbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor.
Rancangan realiti televisyen, Akademi Fantasia (AF) memperolehi RM12.25 juta hasil daripada undian melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) sepanjang tiga musim program hiburan itu disiarkan, kataTimbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor.
Daripada jumlah itu, katanya, hasil kutipan AF1 ialah RM5.67 juta, AF2 (RM6.42 juta) dan AF3 (RM4.48 juta) dan sebanyak RM200,000 daripada hasil itu diagihkan kepada badan-badan kebajikan.
Katanya, walaupun kutipan yang diperolehi tinggi, tetapi program Akademi Fantasia adalah satu daripada produksi tempatan Astro yang paling mahal.
Manakala hasil yang dijanakan melalui SMS itu, adalah lebih rendah daripada kos produksi rancangan itu sebanyak RM19.24 juta, katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau memberitahu demikian ketika soalan Rosnah Abdul Rashid Shirlin (BN-Papar) yang ingin tahu jumlah keseluruhan sumbangan rakyat Malaysia dalam rancangan realiti AF1, AF2, AF3, Mentor, Malaysian Idol dan program Bersama Mu.
Shaziman berkata, kutipan yang diperolehi oleh rancangan Malaysian Idol pula ialah RM50,000 bagi setiap episod dan sehingga kini sebanyak 73 episod telah berlangsung, rancangan Mentor mengutip RM700,000 dan Mencari Cinta sebanyak RM2,511.
"Pada masa ini, hanya rancangan Bersama Mu anjuran TV3 telah mengumpul sumbangan awam untuk tujuan kebajikan dan sumbangan yang diterima sehingga bulan lalu ialah RM1.068 juta dan sebanyak RM699,000 diagihkan kepada pihak-pihak yang memerlukan," katanya.
Bakat belia
Menurutnya lagi, hasil daripada perancangan stesen tv berkenaan, program hiburan seperti AF, Mentor dan Malaysian Idol, telah berjaya membantu membina kerjaya hiburan untuk ramai bakat tempatan yang terdiri daripada para belia.
Menurut laporan Bernama, seramai 38 bakat AF diuruskan di dalam pelbagai bidang industri hiburan seperti penganjuran, persembahan, rakaman suara dan penjualan hasil rakaman, katanya.
Shaziman berkata, kementerian itu bersama-sama dengan Kementerian Penerangan dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bagaimanapun sedang meneliti kandungan program yang disiarkan oleh badan penyiaran swasta agar ia memenuhi aspirasi negara dari aspek agenda nasional dan nilai tempatan.
Jawatankuasa Mengkaji Peranan dan Tanggungjawab Media Elektronik itu, yang berperanan untuk memajukan agenda rakyat, kerajaan dan negara dalam pembinaan bangsa dan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri.
Shaziman berkata, jawatankuasa itu juga sedang merangka satu kerangka untuk memastikan kesesuaian program tv pada masa akan datang supaya dapat melahirkan satu program yang bersesuaian dengan aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara yang maju dan mempunyai adat ketimuran, katanya.
Mengenai tapisan rancangan yang disiarkan di stesen tv swasta, Shaziman berkata, tidak ada satu pun rancangan yang dibenar disiarkan tanpa terlebih dahulu melalui tapisan Lembaga Penapisan Filem yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.