Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Apa hukum sokong MCA, Gerakan bagi Zamihan?'
Diterbitkan:  Jan 22, 2018 11:03 AM
Dikemaskini: 3:14 AM

Koordinator Deklarasi Rakyat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini berkata beliau pelik dengan kenyataan Dr Zamihan Mat Zin yang mengatakan haram mengundi DAP kerana tidak menyokong hukum hudud.

Beliau mempersoalkan mengapa presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) itu hanya menyasarkan DAP sedangkan MCA dan Gerakan juga tidak menyokong hukum Islam berkenaan.

Sehubungan itu, bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan itu bertanya kepada Zamihan apakah hukum mengundi BN memandangkan parti berkenaan juga bekerjasama dengan MCA dan Gerakan.

"Macam mana pula dengan MCA serta Gerakan yang tentang hukum hudud?

"Ini membawa erti haram juga untuk sokong BN kerana MCA serta Gerakan yang anti hudud juga adalah rakan sekutu BN.

"Bolehkah Zamihan Mat Zin jawab hukum bekerjasama dengan MCA dan Gerakan yang juga tidak sokong hukum hudud di negara kita.

"Kenapa dengan parti-parti seperti MCA dan Gerakan yang tolak hudud tak mahu disentuh atau dijatuhkan hukum pula oleh Zamihan Mat Zin ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam wawancara bersama Watan Online Sabtu lalu, Zamihan mendakwa haram untuk umat Islam mengundi DAP yang menolak hukum-hakam Islam kerana membantah usaha PAS meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Zamihan turut mendakwa, bukan sahaja haram mengundi DAP malah haram juga untuk menyokong serta membantu parti berkenaan.

"Jika jelas DAP itu bertentangan dengan Islam dan anti Islam, maka haram untuk umat Islam menyokong aspirasi perjuangan DAP, mengundi DAP bukan haram kering, tetapi haram basah.

"Haram mengundi, haram menyokong, haram membantu dan banyak-banyak benda haram itu kesimpulannya haram jadah.

"Orang DAP nak marah saya tidak apalah, saya tidak ada kepentingan pada Umno, Amanah, PAS, PKR.

"Kita NGO. Kita bersuara demi kebenaran. Mencari keredaan Allah, bukan orang kata bayar duit pada kita," kata Zamihan.

Lihat Komen
ADS