Mahkamah belum terima laporan kimia kes Dr Ganja
Lebih enam bulan berlalu sejak penangkapan bekas pegawai tinggi tentera yang dikenali dengan nama 'Dr Ganja' itu tetapi Mahkamah Majistret Klang masih belum lagi menerima laporan kimia berhubung pertuduhan memiliki kanabis.
Majistret Nor Asma Ahmad menetapkan 7 Februari depan sebagai tarikh akhir sebutan kes terhadap Kapten (Bersara) Amiruddin @ Nadarajan Abdullah, 58 tahun, di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Jika kita belum lagi menerima laporan kimia dan persetujuan (untuk memindahkan kes ini), saya akan membuat keputusan yang bersesuaian termasuklah memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi," kata Nor Asma menjelaskan batasan mahkamah majistret untuk mendengar kes dengan hukuman mati.
Kes ini ditetapkan untuk didengar hari ini tetapi Nor Asma mengeluarkan perintah penangguhan kes sehinggalah mahkamah menerima laporan kimia.

Peguam Samantha Chong yang mewakili Amiruddin kemudiannya memberitahu wartawan bahawa 'kes ini telah berjalan terlalu lama'.
"Majistret menetapkan 7 Februari sebagai tarikh akhir sebutan kes yang telah berjalan terlalu lama sejak bulan Jun tahun lalu.
"Beliau juga mengambil kira keadaan kesihatan tertuduh dalam memutuskan kes ini perlu dipercepatkan," katanya.
Chong menjelaskan Amiruddin menghidap penyakit kencing manis yang telah kehilangan satu buah pinggangnya dan memiliki tumor di saraf tunjangnya.
Semasa pendengaran kes hari ini, sekumpulan 20 orang yang memperkenalkan diri mereka sebagai 'pesakit' Amiruddin turut hadir untuk memberikan sokongan.
Amiruddin didakwa pada Jun tahun lalu dengan 14 pertuduhan memiliki kanabis seberat 97.995kg di sebuah rumah di Kampung Delek Dalam, Klang kira-kira pada jam 12.30 malam pada 26 Mei 2017.
Pada ketika itu, dilaporkan polis merampas sejumlah produk berkaitan ganja yang dikatakan bagi tujuan perubatan yang dipromosikan dalam internet.

