Isu nuklear: Msia minta Amerika jangan terlalu menekan Iran
Terjemahan Malaysia yang mempengerusikan pertubuhan terbesar negara-negara Islam, menggesa Amerika Syarikat supaya banyak bersabar dalam menangani kontroversi berhubung program nuklear Iran.
Terjemahan Malaysia yang mempengerusikan pertubuhan terbesar negara-negara Islam, menggesa Amerika Syarikat supaya banyak bersabar dalam menangani kontroversi berhubung program nuklear Iran.
Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid berkata, dunia tidak mahu isu nuklear Iran 'meletup' menjadi satu lagi konflik seperti di Iraq.
"Kita telah menyaksikan kesusahan akibat peperangan yang diterajui Amerika di Iraq dan kita tidak mahu tercetus keadaan di mana kita berdepan dengan satu lagi konflik terbuka yang sukar ditangani," katanya ketika menjawab soalan dalam forum Malaysia-Amerika di Washington semalam.
Malaysia kini mempengerusikan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang dianggotai 57 negara Islam dan Pergerakan Berkecuali dengan 116 anggota.
Sabtu lalu, lembaga gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa yang dianggotai oleh 35 negara, meluluskan resolusi untuk menghadap Iran ke Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana melanggarkan peraturan antarabangsa mengenai pencambahan nuklear.
Iran pula berkata, program nuklearnya itu adalah untuk tujuan keamanan tetapi Amerika mendakwa negara itu sedang menjalankan program pembinaan senjata secara sulit.
Iran yang berang dengan resolusi tersebut, mengancam untuk menarik diri daripada menyertai protokol yang membenarkan pemeriksaan nuklear dilakukan, jika agensi nuklear itu masih berkeras mahu membawanya ke Majlis Keselamatan PBB.
Syed Hamid berkata, dalam mengendalikan isu tersebut dengan Iran, Amerika perlu mengutamakan pendekatan perundingan sepertimana ketika menangani isu yang sama dengan Korea Utara.
Adakan rundingan
Awal bulan ini, Korea Utara bersetuju membubarkan rangkaian senjata nuklearnya selepas diberi jaminan keselamatan dan bantuan tenaga, selepas melalui rundingan yang panjang, yang turut membabitkan Amerika, Russia, China, Jepun dan Korea Selatan.
"Adalah lebih baik jika Iran dibawa berunding. Saya tahu kekecewaan yang terpaksa dilalui ketika mengadakan perundingan dan dialog," kata Syed Hamid sambil merujuk kepada rundingan nuklear enam pihak mengenai isu nuklear Korea Utara "yang mengambil masa yang panjang, tetapi akhirnya telah membuahkan hasil".
"Jadi, mengapa tidak kita lakukan perkara sama dalam kes ini," soalnya.
Syed Hamid berkata, Malaysia menyokong pelucutan dan menentang pencambahan senjata dan telah memaklumkan kepada Iran bahawa "mereka mesti terbuka untuk mengadakan perundingan" berhubung program nuklearnya./ Berita asal
- AFP

