Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN | Jika matlamat mengangkat Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri menjadi sasaran tunggal gerakan reformasi, maka sia-sia sajalah perjuangan yang diusung selama ini.

Andai melawan Mahathirisme menjadi sendi utama dalam gerakan siasah ini, maka sia-sia jugalah pengorbanan yang dibuat.

Matlamat menjatuhkan Najib Razak, Umno dan BN bukanlah matlamat pokok. Itu hanyalah satu daripada cabang-cabangnya yang ada.

Teras utama perjuangan yang disokong rakyat terbanyak ialah menuntut kebebasan. Kebebasan daripada belenggu kesusahan dan kos sara hidup tinggi menjadi punca mengapa kebebasan tulen dituntut.

Graduan menganggur, manakala yang baru mendapat pekerjaan pula dikejar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan MARA. Sesetengah yang lain diberhentikan kerja atas alasan mengecilkan operasi.

Ada juga yang terpaksa membuat dua tiga pekerjaan hanya untuk menampung membeli lampin dan susu anak, serta macam-macam lagi kesusahan akibat kegagalan urus tadbir ekonomi dan sikap boros pemerintah hari ini.

Yuran tak berbayar lagi

Hatta di kampung-kampung pun, melihat seorang ayah terpaksa berkira-kira membayar, membelek-belek sehelai dua keping duit ringgit pada tangannya untuk membeli ikan kembung di pasar pagi, cukup untuk meruntun jiwa.

Pernah dalam siri ceramah yang saya sertai, beberapa keluarga menunggu sehingga lampu khemah ceramah ditutup untuk menghampiri kami bertujuan memohon ihsan membeli secupak dua beras timbang.

Ada juga yang mendekati dan memberitahu ada yuran sekolah anak yang belum lunas dibayar, belum ada kelengkapan alat tulis untuk dan buku-buku latihan pun tidak sempurna lagi.

Tahukah kalian, ada yang sampai memetik daun-daun ulam untuk direbus bagi dibuat lauk dalam keluarga yang ada lima enam orang anak? Kuah rebusan ulam menjadi kuah, ulam yang direbus menjadi lauk.

Kegilaan apakah ini? Siapalah pembela mereka? Di mana pemimpin yang diamanahkan menjadi pejuang mereka?

Apakah tidak ada jalan lain untuk membebaskan mereka daripada kesempitan hidup yang tidak pernah mereka minta ini?

Celakalah pemimpin yang sibuk dengan ketam yang mahal, melancong bersama anak-beranak serta suku-sakat menaiki jet sebelum meluangkan sedikit masa menyantuni pengundinya apabila tiba musim pilihan raya.

Dan celaka juga mereka yang hanya seronok bergurindam mengajak ramai orang memboikot dan merosak kertas undi yang akhirnya memenangkan BN.

Adakah jalan memboikot pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan merosakkan kertas undi idea paling pintar yang boleh kalian temukan?

Kasut sekolah koyak tak berganti

Jeritlah idea mengarut ini ke muka pak cik-pak cik tua yang hanya bergantung harap pada harga sekilo getah di luar musim hujan.

Beritahu mereka: “Pak cik, kami nak boikot pilihan raya ini, kami buat kempen undi rosak sebab Mahathir jadi calon perdana menteri dan bukan orang muda yang kami nak!”

Semoga pak cik-pak cik itu akan berasa lebih lega selepas mendengarnya.

Tapi, itulah yang lucunya. Kalian cuma seronok bersorak di forum-forum dan media sosial sahaja. Barangkali mustahil kalian memikirkan kesusahan mereka yang miskin di kampung-kampung seperti yang saya ceritakan tadi, kan?

Kalian juga mungkin dapat tidur lena tanpa perlu risaukan memikirkan jika hujan nanti, ada air yang menitis dari lubang dan membanjiri ruang tamu rumah.

Saya sedar kalian ada tugas yang jauh lebih besar.

Saya akui, melampiaskan dendam yang terpendam dalam hati disebabkan Mahathir menjadi calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) adalah tugas penting kalian saat ini.

Malah, kempen memboikot dan merosakkan undi dek kerana calon muda idaman kalian tidak terpilih adalah jauh lebih mustahak daripada memikirkan kasut sekolah anak-anak orang kampung yang koyak-rabak sebab ayahnya tak berkemampuan membeli yang baru.

Peduli apa mereka semua, kan?

Lagi pun memilih antara Mahathir dan Najib bukanlah perkara yang besar. Ia tidak memberi apa-apa kesan pun kepada orang kampung tadi, betul?

Sedihnya, kalian sekadar mempunyai sebuah cita-cita kecil berbanding orang-orang kampung yang miskin yang saya temui. Dengan linangan aira mata pada pipi berkedut, bersama suara sangat perlahan, mereka benar-benar mengadu agar kita boleh membebaskan mereka dari belenggu kesusahan.

Akibat sudah terjamin

Inilah matlamat asal mereka yang duduk di dalam medan ini. Medan yang digelar pujangga sebagai lapangan untuk orang-orang yang berkeinginan berjuang.

Medan ini tidak cocok buat mereka yang mudah berputus asa dan lelah akalnya ketimbang dinamika politik yang bertembung dengan ideanya.

Perjuangan besarnya ialah membebaskan mereka yang susah di kalangan kita. Bukan untuk sekerat-dua tokoh yang dibenci atau yang mahu disanjungi.

Najib memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dua tahun selepas kemenangannya dalam PRU ke-13.

Kesan cukai regresif yang diperkenalkan mengakibatkan kita semua berada dalam keadaan seperti hari ini. Betul, Mahathir tidak mampu membawa penawar ajaib namun memilih beliau adalah simbol kepada langkah permulaan kepada sesuatu yang bersifat lebih radikal dan tidak terjangka oleh lawan.

Seni peperangan ini telah membawa HARAPAN selangkah di hadapan. Kalian boleh lihat sendiri hari ini - di mana-mana - ada jalan terbuka untuk kita membuka lebih jauh lagi.

Menukar kerajaan pusat dengan memilih HARAPAN adalah sebahagian daripada agenda perubahan untuk membantu mereka yang susah tadi.

Ya, memilih HARAPAN belum menjamin semuanya akan menjadi baik dan pulih sekelip mata. Tidak ada jaminan 100 peratus. Tetapi, mengekalkan BN kita sudah boleh jamin apakah akibatnya nanti!


NOR MISWARY RAMLI adalah Pengerusi DAP Cawangan USJ, Subang Jaya.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS