DAP Sabah kurang bersetuju dengan cadangan Parti Warisan Sabah (WARISAN) pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal supaya parti itu tidak meletakkan calon di kawasan pedalaman terutama di kawasan masyarakat Kadazan-Dusun-Murut.

Sebaliknya, Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt berkata kerusi berpotensi dimenangi DAP di pedalaman itu wajar dikekalkan memandangkan gerak kerja aktif telah pun dilakukan parti itu sejak lima tahun lalu.

“DAP sudah pun amat dikenali di kawasan-kawasan ini. Banyak yang kita sudah laksanakan, antaranya projek-projek Impian Malaysia dan sekarang ini sudah beri impak kepada masyarakat.

“Tak adil kalau minta kita jangan bertanding di sana. Kita hanya minta tiga kerusi DUN pedalaman sahaja iaitu satu di dalam Parlimen Pensiangan, Tenom dan satu lagi di Keningau,” katanya yang dipetik oleh portal Roketkini.

Beliau mengulas kenyataan Shafie minggu lalu yang dilapor mencadangkan supaya DAP tidak meletakkan calon di kawasan pedalaman terutama tetapi sebaliknya membiarkan kerusi-kerusi tersebut ditandingi oleh WARISAN.

Shafie juga meminta DAP hanya memberi tumpuan kepada kubu kuatnya di kawasan-kawasan bandar.

Mengulas lanjut, Wong berkata, DAP sentiasa terbuka untuk sebarang perbincangan berhubung pembahagian kerusi parti-parti pembangkang tempatan agar sebarang pertindihan kerusi dapat dielakkan.

“Kami terbuka untuk perbincangan dan kami harap pembahagian kerusi ini boleh diselesaikan sedikit masa lagi dan terus mula beri tumpuan di kawasan yang telah kita setujui.

“Saya harap semua ikhlas. Untuk tumbangkan BN kita kena ada give and take. Formulanya perlulah letak calon-calon yang paling ada potensi untuk menang dan dikenali,” katanya.

Wong juga menjelaskan DAP Sabah hanya mahu meletakkan calon di 12 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala lima calon daripada 25 kerusi Parlimen.

Menurut beliau, jumlah tersebut telah pun dikurangkan daripada 17 kerusi DUN kepada 12 manakala daripada tujuh kerusi Parlimen kepada lima kerusi.

“Kita faham, supaya agihan lebih serata dengan parti tempatan, kami sanggup untuk kurangkan lagi kepada lima (Parlimen) dan 12 (DUN), ini pun masih terbuka untuk diperbincangkan,” katanya.

Beliau turut membidas tohmahan sesetengah pihak yang mendakwa DAP ‘bongkak’ dalam isu pembahagian kerusi di Sabah.

“Kita tak sombong, daripada 73 kerusi DUN, kita hanya minta 12 sahaja. Daripada 25 (kerusi) Parlimen, kita hanya minta lima.

“Walaupun DAP parti kedua terbesar, tapi kita minta sedikit sahaja. Adakah ini sombong? Tidak. Kita hanya minta sedikit sahaja,” katanya.