Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) ketika dalam perbahasannya di Dewan Rakyat hari ini berkata, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz sudah pulang dari luar negara Sabtu lalu, tetapi beliau masih gagal menghadiri persidangan Parlimen.

Katanya, berdasarkan rekod Parlimen, Rafidah merupakan menteri yang jarang menghadiri sesi Parlimen untuk menjawab soalan yang dikemukakan kepada kementeriannya.

Pada tahun 2000, katanya, Rafidah hanya hadir dua kali sesi Parlimen, 2001 (lima kali), 2002 (dua kali), 2003 (enam kali), 2004 (dua kali) dan 2005 (dua).

"Satu kali sahaja dalam lima atau enam tahun untuk menjawab soalan. Saya tidak melihat ada rekod di mana beliau menjawab perbahasan.

"Kita perlu ambil satu keputusan di mana jika tidak ada satu perubahan, menteri perlu dilucutkan dari Kabinet," katanya

Sementara itu, ahli Parlimen sekali lagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka hari ini terhadap Rafidah berhubung isu Permit Import (AP) dan ketidakhadirannya di sidang dewan.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata beliau tidak bersetuju apabila pembangkang mendakwa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) "tutup mulut" berhubung isu AP.

"Apabila menteri berkenaan memberi penjelasan pada persidangan Umno, saya telah ditemui oleh wartawan The Star. Saya menyatakan...saya tidak puas hati. Saya menyatakannya pula dalam persidangan Parlimen," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2005) 2005 di Dewan Rakyat.

Walaupun Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Lim Si Cheng enggan membenarkan isu AP dibincang dengan alasan ia tidak berkaitan rang undang-undang yang sedang diperbahaskan, Bung Moktar tetap bertegas bahawa isu berkenaan berkaitan kerana turut melibatkan Kementerian Kewangan.

Bung Moktar yang mahu meneruskan juga perbahasannya mengenai isu berkenaan berkata: "Saya tengok ada Perbendaharaan. Kerana AP ini kerajaan rugi. Jadi wang ke Perbendaharaan."

Menurutnya, walaupun menteri berkenaan tidak hadir di Dewan Rakyat, beliau berharap pegawai kementerian akan menyampaikan perkara itu kepada menterinya.

Khamis lalu, Lim gagal dalam usahanya untuk merujuk Rafidah kepada Jawatankuasa Khas Parlimen untuk dikenakan tindakan disiplin.

Lim mahu jawatankuasa tersebut menyiasat sama ada terdapat sebarang pelanggaran privilej dalam jawapan bertulis menteri berkenaan pada 20 September lalu apabila beliau meminta senarai penuh pemegang AP sejak 1978, termasuk penerima individu.

Speaker Tan Sri Ramli Ngah Talib bagaimanapun menolak usul tersebut dengan alasan Lim, yang membentangkan usul itu di bawah perintah tetap 26 (1)(p) yang memerlukan usul tersebut dibentang terus ketika timbul isu tersebut sepatutnya berbuat demikian pada 20 September lalu.

Dalam jawatan bertulisnya itu, Rafidah hanya menyenaraikan bilangan pemegang AP individu sejak tahun 2000, di samping nama ahli-ahli Parlimen yang menerima AP bagi tempoh masa yang sama.

(Setiap ahli Parlimen dan senator layak menerima satu AP bagi penggal perkhidmatan mereka dan hanya boleh menerima satu AP sahaja).