Demokrasi di negara ini tidak mati, kata Datuk Seri Salleh Said Keruak, sebaliknya data antarabangsa menunjukkan kedudukan Malaysia mengatasi banyak negara lain.

Menurut menteri komunikasi dan multimedia tersebut, kedudukan Malaysia bukan saja lebih baik berbanding negara jiran malah lebih tinggi berbanding negara yang berdekatan dengan AS.

Negara-negara Amerika Tengah yang dekat dengan Amerika juga gagal demokrasinya.

"Skor Honduras dan Guatemala (mengikut Indeks Demokrasi 2016) adalah masing-masingnya 5.92 mata.

"Bhutan (mendapat skor 4.93 mata) yang mempunyai kadar kegembiraan penduduk yang tinggi juga gagal demokrasinya.

"Qatar (3.18 mata) yang mempunyai per kapita penduduk paling tinggi di dunia juga gagal," katanya dalam kemas kini terbaru blog beliau hari ini.

Kenyataan Salleh itu dibuat ketika negara semakin menghampiri pilihan raya umum (PRU) dan gabungan pembangkang dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) menggiatkan serangan terhadap BN.

Salah seorang pemimpin yang lantang menyerang Putrajaya ialah Tun Dr Mahathir Mohamad. Perdana menteri keempat Malaysia itu sudah memulakan dakwaan mengenai "kematian" demokrasi sejak dua tahun lalu lagi.

Demi jaga keamanan

Menurut Salleh menikut indeks berkenaan Malaysia berada di kedudukan ke-65 berbanding 167 negara.

Di peringkat serantau pula Malaysia mengatasi Thailand, Kemboja, Myanmar, Vietnam dan Laos.

Namun untuk rekod - dan tidak dinyatakan Salleh dalam catatannya hari ini - mengikut indeks sama, Malaysia berada di belakang Indonesia dan Filipina.

Berdasarkan dapatan kajian itu Salleh berkata ia menjadi bukti tahap demokrasi Malaysia tidaklah seteruk yang dituduh sesetengah pihak sebagai demokrasi yang mati.

"Kita tetap negara demokrasi," katanya.

Memetik laporan terbaru Freedom of the World 2018 pula Salleh berkata demokrasi Malaysia juga tidak dikategorikan sebagai mati, sebaliknya "partly free" (bebas sebahagiannya) dengan skor 4 mata.

Turut mendapat kategori sama ialah Singapura, manakala Brunei, Thailand, Vietnam, Laos, Kemboja dan Myanmar (dengan 6 mata) dianggap tidak bebas.

Partly free ini bukanlah menunjukkan demokrasi kita mati atau kerajaan menafikan hak rakyat, tetapi kerana beberapa akta pencegahan yang terpaksa kita kekalkan untuk menjaga kestabilan dan keamanan negara.

"Amankah Malaysia? Tentu sekali. Indeks Keamanan Global 2017 meletakkan indeks keamanan kita di tempat ke-29 daripada 163 negara, dan kelima paling aman di Asia Pasifik selepas New Zealand, Jepun, Australia, dan Singapura.

"Sebagai rakyat, kita sepatutnya berbahagia dengan nikmat keamanan ini," katanya.

Salleh juga menyatakan bahawa PRU ke-14 semakin hampir dan "semua parti telah bersedia" untuk menghadapinya.

PRU di Malaysia perlu diadakan selewat-lewatnya lima tahun sekali dan mandat kerajaan hari ini akan berakhir pada Jun nanti.

Jika parlimen tidak dibubarkan sebelum tempoh itu, ia akan terbubar sendiri dan PRU perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepasnya.

Tidak seperti kebanyakan negara lain, tarikh pembubaran parlimen di Malaysia tidak diumumkan lebih awal sehinggalah saat-saat terakhir, dan ia memberi kelebihan kepada kerajaan berbanding pembangkang.