Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Husam ucap 'terima kasih' pada Hadi, PAS Kelantan
Diterbitkan:  Jan 23, 2018 5:13 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

Datuk Husam Musa hari ini 'gembira' apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta exco Kelantan memperjuangkan haknya untuk mendapatkan peruntukan sebagai wakil rakyat.

Kata Husam teguran Abdul Hadi mengenai pembekuan peruntukan untuk anggota dewan undangan negeri (ADUN) PAS di Selangor disambut pula oleh pemimpin parti terbabit di Kelantan.

"Saya gembira dengan dua kenyataan pemimpin parti Islam itu. Saya selaku ADUN Kelantan nampaknya akan memperolehi semula hak saya mengagihkan peruntukan DUN Salor," katanya melalui kenyataan terbuka petang ini.

Husam adalah bekas pemimpin kanan PAS yang pernah dilantik anggota parti itu menjadi naib presiden mereka.

Dilihat dekat dengan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Husam bagaimanapun diketepikan anggota PAS pada penghujung pentadbiran bekas menteri besar Kelantan terbabit.

ADUN Salor itu akhirnya dipecat oleh PAS dan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) sekali gus menjadi pembangkang di DUN Kelantan.

Langkah tak matang

PAS tidak lagi mempunyai sebarang hubungan politik dengan PKR, DAP dan AMANAH yang membentuk kerajaan Selangor, namun pada masa sama mereka kekal mengisi tiga jawatan exco di negeri berkenaan.

Pada 18 Jan lalu PAS Selangor menyatakan mereka tidak menolak kemungkinan untuk mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah jika peruntukan dana kepada ADUN parti itu dibekukan.

“Jadi kalau beku, mengadap tuanku adalah sebahagian daripada cadangan. Itu pun jika tuanku berkenan. Kalau tak berkenan tak boleh buat apa kerana ini adalah isu politik,” kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi kepada Malaysiakini.

Peruntukan itu dikatakan berjumlah RM800,000.

Pada Ahad lalu pula Abdul Hadi mengingatkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali supaya tidak mencampuradukkan isu politik dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan yang juga exco negeri itu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, hari ini turut menyokong kenyataan Abdul Hadi.

Bagaimanapun Azmin menyifatkan tindakan PAS Selangor itu sebagai tidak matang.

Semakan Malaysiakini di Kelantan pula mendapati kerajaan negeri tidak memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Kelantan, Selangor berbeza

Dihubungi hari ini ADUN Galas, Abd Aziz Yusoff, berkata wakil-wakil rakyat dari BN di negeri itu tidak pernah mendapat peruntukan daripada Kelantan.

"Memang tidak pernah ada sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri.

"Saya tak pernah dapat, semua (ADUN BN) pun tak dapat," katanya.

Kata Husam ekoran kenyataan dan sokongan diberi Abdul Hadi serta Che Abdullah berkaitan peruntukan kepada pembangkang, beliau akan menghantar senarai peruntukan untuk rakyat Salor ke kerajaan negeri.

Selain itu, Husam juga secara sinis menggesa agar kerajaan Selangor mengikuti tindakan Kelantan.

"Saya berharap kerajaan Selangor mengikuti tindakan adil, demokratik dan Islamik kerajaan PAS Kelantan," katanya.

Sementara itu dalam sidang media di Kota Bharu malam tadi, Che Abdullah berkata, ada perbezaan antara Kelantan dan Selangor.

Kata ADUN Wakaf Baru itu di Selangor wakil rakyat PAS tidak menyerang kerajaan negeri.

Menurut Che Abdullah Kelantan tidak memberikan peruntukan kepada mana-mana ADUN yang berusaha menjatuhkan "kerajaan Islam" di negeri berkenaan.

"Saya rasa ADUN PAS masih lagi menyokong kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, maka tidak ada sebab untuk disekat peruntukan mereka.

"Mereka tidak menyerang kerajan (negeri), berbeza dengan apa yang berlaku di Kelantan," katanya.

Lihat Komen
ADS