Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ustaz BERSATU' sedia lawan salah faham terhadap Islam

Langkah menyertai politik untuk melawan salah faham tentang Islam adalah cabaran baru buat pelajar kedoktoran Pengajian Islam, Abu Hafiz Salleh Hudin.

Anak muda berusia 30 tahun itu berkata, ada keperluan untuk melawan hujah dan pandangan ahli politik yang memperalatkan agama demi kepentingan peribadi.

Dan beliau merasakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah platform terbaik untuk melawannya.

"Ada yang mengatakan jika semua mahu berada di luar politik kerana mahu kekal jujur dan berkata benar, usaha dan pandangan mereka akan ditutup oleh orang (politik) yang sesuka hati menggunakan jawatan dan apa saja peluang untuk memenuhi hawa nafsunya.

"Ini adalah tanggungjawab besar kerana dari dulu lagi saya merasakan berada di luar (gelanggang politik) lebih mudah dan neutral (dalam mengutarakan pandangan)," katanya pada sidang media pengumuman rasmi penyertaannya dalam BERSATU.

"InsyaAllah, saya bersedia untuk dilabel atau dianggap (secara salah), selagi saya mengingatkan diri untuk sentiasa bercakap atas nama kebenaran," katanya.

Ketika ditanya tentang persepsi orang ramai bahawa pandangan agamawan yang menyertai politik akan menjadi berat sebelah untuk memihak partinya, beliau berkata amat penting untuk tidak terlalu terikat dengan ideologi politik sehingga menutup perkara yang benar.

Terdahulu, beliau membangkitkan contoh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memetik hadis dalam mengatakan langkah melantik calon perdana menteri bercanggah dengan adab yang dibawa Nabi Muhammad.

"Ironinya beliau tidak menyatakan hujah yang sama ketika Majlis Syura PAS berkata calon perdana menteri parti itu sepatutnya presiden sendiri.

"Adakah ketika itu beliau belum menjumpai hadis itu?" katanya merujuk kenyataan daripada Majlis Syura PAS ketika muktamar parti itu pada 2012, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Aset berharga

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Rais Hussin yang mengumumkan penyertaan itu, turut mengesahkan pelantikan Abu Hafiz sebagai timbalannya dalam Biro Strategi dan Dasar.

Berdasarkan kelayakan akademik, Rais menyifatkan kemasukannya sebagai 'aset penting' bagi BERSATU, terutama untuk meningkatkan kebolehan mereka melawan "naratif menyeleweng" tentang Islam yang dibuat PAS dan Umno.

"Melayu dan Islam sentiasa menjadi asas BERSATU. Kini kami mengukuhkan lagi naratif ini dan paling penting untuk memberikan penjelasan yang betul bagi 'naratif yang menyeleweng'," katanya.

Beliau berkata, isu berkenaan Islam adalah amat penting kerana amat dekat dengan 42 peratus pengundi luar bandar yang menjadi faktor penentu untuk kira-kira 65 peratus kerusi Parlimen.

Lihat Komen
ADS