Mesyuarat kabinet hari ini bincang isu Rafidah tidak hadir Parlimen
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Rafidah Aziz tidak boleh lari dari tanggungjawabnya sebagai menteri untuk menjawab soalan berhubung isu Permit Import (AP) yang dibangkitkan ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Rafidah Aziz tidak boleh lari dari tanggungjawabnya sebagai menteri untuk menjawab soalan berhubung isu Permit Import (AP) yang dibangkitkan ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, kegagalan Rafidah hadir di Parlimen bagi menjelaskan sendiri isu itu kepada ahli Parlimen telah dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu.
Beliau berkata, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok.
"Kita akan bincangkan perkara ini esok, tetapi dalam hal-hal tertentu kita kena amalkan `natural justice'.
"Jangan bimbang, sukar untuk seseorang itu hendak lari daripada menjawab perkara yang dibangkitkan terhadap dia (dalam Dewan Rakyat)," katanya ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2005 pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
Isu mengenai ketidakhadiran Rafidah di Parlimen untuk menjawab sendiri soalan mengenai AP, dibangkitkan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang bangun mencelah ketika Nazri menggulung perbahasan rang undang-undang itu.
Menurut laporan Bernama, Nazri berkata, Rafidah perlu menjawab sendiri soalan-soalan yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen itu kerana ia lebih banyak berkait dengan menteri itu sendiri dan bukannya mengenai kementerian berkenaan.
"Dalam hal ini bukan (mengenai) kementerian, yang dipersoalkan ialah menteri. Saya rasa untuk berlaku adil kepada menteri dia sendirilah...(kena jawab).
"Dari segi peraturan-peraturan dalam dewan, tidak ada kesalahan yang dilakukan kerana ada (pihak) yang menjawab bagi pihak MITI, cuma dari segi pandangan ahli Parlimen, mereka hendak menteri itu sendiri jawab," katanya.

