Seramai 400 anggota dan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) akan ditugaskan untuk memastikan arahan pengasingan tempat duduk penonton lelaki dan wanita yang menghadiri konsert Tautan Kasih sempena perisytiharan Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) Bandaraya Islam, dipatuhi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya yakin peraturan mengasingkan penonton wanita dan lelaki ketika menghadiri konsert itu boleh dilaksanakan.

Dua konsert dengan persembahan artis terkenal, antaranya bintang Akademi Fantasia 3 itu dan M. Nasir, akan diadakan dua malam berturut-turut iaitu pada 30 September dan 1 Oktober. Majlis perisytiharan itu dijangka disempurnakan Sultan Kelantan.

"Peraturan pengasingan tempat duduk itu dikuatkuasakan untuk lelaki dan wanita bujang manakala mereka yang datang bersama keluarga, boleh duduk bersama di ruangan yang dikhaskan untuk penonton keluarga.

"Bagaimanapun, kita merayu kepada penonton supaya berdisiplin dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan itu kerana jika mereka gagal mematuhinya, ini mungkin konsert terakhir yang diadakan di Kelantan," katanya ketika Bernama hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru supaya orang ramai yang ingin menonton konsert itu yang akan diadakan di Stadium Sultan Mohamad IV supaya memasuki laluan yang sudah disediakan kepada mereka.

Menurutnya, 400 pegawai bertugas akan memastikan lelaki dan wanita memasuki laluan yang ditetapkan berdasarkan penampilan mereka dan mereka tidak perlu menunjukkan buku perakuan nikah untuk membuktikan status perkahwinan.