Parti Bersatu Sabah (PBS) akan mencadangkan formula kongsi kuasa yang membenarkan anggota parti Barisan Nasional (BN) negeri mencalonkan anggotanya untuk mengisi kebanyakan pelantikan politik kerajaan di kawasan yang diwakili wakil rakyatnya.

Formula, yang meliputi 70-30 pembahagian jawatan di setiap kawasan dan akan memberi ruang kepada penyandang parti, diluluskan sebulat suara oleh perwakilan di akhir Persidangan Perwakilan Tahunan PBS ke-20 di Penampang dekat Kota Kinabalu, semalam.

Presiden PBS, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan berkata, cadangan itu, jika diterima oleh BN, akan memberikan kuasa penuh kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri yang dipilih daripada penyandang parti di setiap kawasan untuk membuat pencalonan.

Menurutnya, berdasarkan formula itu, wakil rakyat PBS akan mempunyai kuasa untuk mencalonkan 70 peratus pelantikan politik di kawasan daripada PBS dengan baki 30 peratus dipilih daripada kalangan anggota parti lain BN negeri.

Menurut laporan Bernama, ia juga terpakai bagi kawasan yang diwakili oleh parti komponen lain, katanya.

PBS memiliki 13 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri di Sabah, dan empat daripada 25 kerusi Parlimen yang dimenanginya dalam pilihanraya umum 2004.

Tidak puashati

Semalam, Pairin dipetik oleh akhbar-akhbar tempatan sebagai berkata, parti itu percaya formula perkongsian kuasa diperlukan bagi memastikan semua komponen Barisan Nasional (BN) berkongsi kuasa secara adil di Sabah.

Kebanyakan rasa tidak puas hati yang sering disuarakan perwakilan ialah mengenai pengagihan jawatan kepada ahli parti, terutamanya di peringkat akar umbi, seperti pegawai pembangunan masyarakat, ketua kampung dan ahli majlis tempatan selain pemberian projek dan kontrak kerajaan.

Minggu lalu, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sebuah lagi parti komponen BN menyuarakan kebimbangan serupa berhubung perkongsian kuasa di negeri itu.

Presidennya, Datuk Joseph Kurup, mendakwa PBRS dipinggirkan oleh pentadbiran negeri dan ahlinya digugurkan daripada jawatan politik mereka dan digantikan oleh ahli dari parti BN yang lain.

Kepada soalan pemberita sama ada beliau (Pairin) menimbangkan untuk bersara selepas memimpin PBS selama 20 tahun sejak 1985, beliau berkata: "Saya belum lagi memikirkannya. Saya fikir sesiapa sahaja, sama ada beliau dalam sektor swasta, dalam politik, pasti akan terfikir untuk bersara.

" Saya tidak terkecuali, tetapi pada ketika ini, saya fikir nasihat daripada penyokong ialah jangan bersara lagi".