DAP mahu jelajah cari pekerja ‘malang’
DAP akan menjalankan siri jelajah seluruh negara mulai bulan hadapan bagi mencari pekerja yang tertindas, dibuang kerja dan berdepan risiko ditamatkan pekerjaan.
Naib Pengerusi Biro Buruh DAP Amran Ahmad berkata pertemuan itu akan digunakan untuk menerang serta memberi panduan mengenai hak-hak pekerja, kaedah untuk mempertahankannya serta tindakan undang-undang yang boleh digunakan.
“Biro kami juga akan membariskan para peguam yang memberi perkhidmatan secara profesional untuk membela golongan pekerja kerana ramai daripada 14 juta pekerja di negara ini masih terpinga-pinga mengenai hak-hak mereka.
“Kebanyakannya tidak mempunyai kesatuan sekerja di tempat kerja mereka dan selalunya terpinga-pinga dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa apabila ditindas majikan,” kata bekas pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ).
Dalam kenyataan hari ini, Amran berkata siri jelajah itu adalah permulaan kepada "gerakan besar-besaran" mempertahankan hak dan periuk nasi pekerja dalam suasana ekonomi yang suram bawah pemerintahan BN.

