Zahid puas hati operasi CMC sekat aktiviti pengganas
Pusat Serantau Digital Bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi (CMC) telah beroperasi sepenuhnya kira-kira sebulan lalu bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif menjejaki dan mengatasi mesej-mesej berunsur keganasan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, CMC tidak bekerja secara solo sebaliknya turut bekerjasama dengan agensi di bawah Kementerian Luar serta Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP).
“Ia telah beroperasi sepenuhnya dan kita mengadakan koordinasi dengan agensi luar untuk mengkoordinasikannya dan kita juga akan mengadakan kerjasama dengan KSCIP.
“Ertinya kita tidak bergerak atau beroperasi secara bersendirian dan koordinasi ini penting, semua maklumat akan disalurkan bukan hanya kepada Aseanapol (Polis ASEAN) tetapi juga Interpol (Polis Antarabangsa) supaya senarai suspek yang ada atau sebarang data diperoleh itu dapat diberikan kepada perhatian antarabangsa.
“Setakat ini saya amat berpuas hati dengan perjalanan CMC ini dan maklumat-maklumat yang kita peroleh,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Kenduri Rakyat Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Putrajaya, hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian mengulas perkembangan semasa CMC.
Malaysia mempunyai CMC dan sebuah agensi masing-masing di Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Luar Negeri bagi memantau individu yang termasuk dalam 'senarai disyaki.'
Katanya, menerusi usaha yang dilakukan kedua-dua badan ini, individu-individu yang berada di rantau Asia Tenggara dan dahulunya pernah ingin menubuhkan pasukan pengganas dipanggil 'Katibah Nusantara' untuk dihantar ke luar rantau Asia, sudah pun dapat disekat.

