Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan individu keempat yang didakwa berpangkat “Datuk Seri” berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Difahamkan individu yang merupakan pengerusi firma perunding kejuruteraan itu ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya sekitar 2.45 petang tadi.
Menurut sumber, suspek itu dipercayai terlibat dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan tiga jalan utama dan terowong di Pulau Pinang yang bernilai kira-kira RM305 juta kepada kerajaan negeri.
SPRM juga menyiasat sama ada wujud individu lain yang terlibat dalam pemalsuan dokumen berkenaan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut.
Semalam, SPRM menahan seorang perunding kejuruteraan yang didakwa terlibat dalam pemalsuan dokumen berkenaan kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan.
Terdahulu, dua individu berpangkat “datuk” daripada dua syarikat berasingan ditahan berhubung siasatan projek berkenaan namun kedua-duanya sudah dibebaskan dengan ikat jamin RM200,000 seorang.
