WARISAN persoal kesahihan tawaran 60-40 HARAPAN Sabah
Parti Warisan Sabah (WARISAN) menyatakan keraguan terhadap kesahihan tawaran '60-40' Pakatan Harapan (HARAPAN) Sabah.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Timbalan Presiden WARISAN Darell Leiking berkata ia agak pelik kerana pengumuman itu dibuat oleh pemimpin DAP Sabah Stephen Wong.
“Apa yang mengejutkan saya adalah tawaran itu seharusnya dibincangkan antara HARAPAN dan WARISAN terlebih dahulu dan bukannya diumumkan secara sepihak melalui media.
“Apa lagi ia cuma dibuat oleh timbalan pemimpin HARAPAN Sabah,” katanya.
Leiking menambah, ia adalah tindakan yang tidak bijak kerana WARISAN belum pernah melihat apa-apa tawaran HARAPAN.
Wong mendedahkan formula 60-40 sebelum ini kepada wartawan dan kemudian diumumkan sekali lagi oleh timbalan presiden HARAPAN Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas sidang media di Kota Kinabalu hari ini.
Wong bercakap kepada wartawan berkata HARAPAN mahu WARISAN meletakkan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka di 60 peratus kawasan kerusi di Sabah sementara memberi laluan kepada HARAPAN meletakkan calon mereka di 60 peratus kerusi parlimen.
Malaysiakini sudah cuba menghubungi Pengerusi HARAPAN Sabah Christina Liew bagi mengulas perkara itu namun gagal.
Menurut Leiking, WARISAN ingin tahu sama ada formula 60-40 itu juga akan digunakan di kerusi kawasan bandar dan separa bandar, yang menurutnya merupakan kerusi yang dituntut DAP.
Leiking berkata WARISAN bukan parti berasaskan kaum, maka mereka akan mengalu-alukan formula 60-40 itu jika ia bererti akan berkongsi kerusi bandar dan separa bandar.
Bagaimanapun, tambahnya, beberapa faktor lain perlu diambil kira dalam rundingan kerusi.
“Kita perlu pertimbangkan pelbagai faktor seperti perwatakan pemimpin tempatan parti yang ingin bertanding di kerusi tertentu, jentera dan aktiviti politik parti itu, dan penerimaan penduduk di kawasan itu, sebelum mencapai keputusan,” katanya.
Leiking bagaimanapun memuji PKR Sabah dan pemimpin mereka Liew atas komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963.
“Pendekatan dan sikap mereka dalam memimpin HARAPAN saya hormati dan dipuji oleh semua kami di WARISAN,” katanya.
Leiking menggesa Liew mengesahkan kesahihan tawaran formula 60-40 Wong dan menyatakan keyakinan bahawa PKR dan WARISAN boleh bekerjasama bagi mencapai perjanjian pilihan raya yang bererti.

