Terjemahan Amerika Syarikat yang merupakan pengkritik utama penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kini berdiam diri, berikutan pendedahan peristiwa penyeksaan tahanan di Guantanamo Bay, demikian menurut satu laporan badan hak asasi manusia di New York.

Menurut Reuters, Badan Pemantau Hak Asasi Manusia, dalam laporannya mengutuk penggunaan ISA di Malaysia, memetik seorang pegawai Jabatan Negara Amerika sebagai berkata, Washington berhenti mengenakan tekanan terhadap Malaysia sejak akhir tahun 2003.

"Dengan apa yang kita lakukan di Guantanamo, kita pun begitu juga," kata laporan tersebut yang memetik seorang pegawa kanan Jabatan Negara, memberitahu badan berkenaan pada bulan Disember 2003.

Badan tersebut berkata, tindakan Amerika berdiam diri, telah memberi tanggapan kepada Malaysia seolah-olah ia 'diberi lampu hijau' untuk terus menahan mereka yang dianggap mengancam keselamatan negara, tanpa dibicarakan.

"Seorang menteri kabinet (Malaysia) memberitahu Badan Pemantau Hak Asasi Manusia, bahawa Amerika tidak lagi mengkritik penggunaan ISA di Malaysia kerana Amerika juga melakukannya di Guantanamo Bay," tambah laporan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz dilaporkan berkata, Amerika berhenti menekan Malaysia supaya menghapuskan penggunaan ISA.

"Mereka tidak gembira jika kita membebaskan tahanan ISA kerana mereka menganggap kita tidak bekerjasama dalam perang terhadap keganasan," katanya kepada Reuters .

"Jika pada Amerika kita mesti mengekalkan penggunaan ISA, maka kita akan bekerjasama dengan mereka," tambahnya.

Tahanan tanpa bicara

Badan tersebut turut mengumpulkan kes pelanggaran hak asasi manusia pada bulan Disember di mana 25 orang telah ditahan di bawah ISA tanpa dibicarakan.

"Mereka yang ditahan di bahawa ISA ditakrif sebagai kumpulan yang tidak mempunyai sebarang hak, jadi tidak hairanlah jika pengawal pusat tahanan tidak melayan mereka seperti seorang manusia," kata Pengarah Eksekutif Badan Pemantau Hak Asasi Manusia (Asia), Brad Adams.

Mohamad Faiq Hafidh, yang ditahan sejak bulan Januari 2002, berkata dia dipukul secara berterusan selama dua hari di Kem Tahanan Kamunting pada bulan Disember lalu.

"Tangan saya digari...dan kepala saya ditekan ke paras pinggang. Kepala saya dipukul dengan baton dan mata saya juga cedera dipukul," katanya dalam satu kenyataan.

"Apabila saya dibawa ke bilik tujuh (bilik tahanan), saya terus menerus dipukul dan dipaksa berbogel, diarah merangkak masuk ke bilik itu dan punggung saya diterajang sehingga tersungkur ke dalam bilik itu, berbogel," katanya.

Sebagai tanda 45 tahun penggunaan ISA, bekas para tahanan berkata dalam bulan Ogos lalu bahawa mereka diseksa secara rutin semasa disoalsiasat, dibogelkan, dipukul dengan penyapu dan diancam akan dirogol.

Gerakan Mansuhkan ISA (Gami) pula berkata, kepala sesetengah tahanan dihentak ke dinding, jarum dicucuk pada kuku dan jarum juga dicucuk pada bahagian sulit mereka. Sesetengahnya dipaksa melakonkan semula kisah Nabi Isa disalib dan dipaksa minum air kencing.

Manakala Badan Pemantau Hak Asasi berkata, tiada sebarang tindakan disiplin dikenakan terhadap pegawai terbabit berikutan pendedahan yang dibuat, dan pihak kerajaan juga menolak permintaannya untuk diwawancara atau dibenarkan melawat Kem Kamunting.

'Mendiamkan para pengkritik'

Kerajaan juga dituduh menggunaan ISA untuk 'mendiamkan pengkritiknya', yang membawa kepada penahanan lebih 10,000 orang sejak tahun 1960, katanya.

"Malaysia mesti menghapuskan penahanan di bawah ISA dan sebaliknnya menggunakan undang-undang jenayah dan kebijaksanaan pihak kehakiman untuk menangani masalah keselamatan dan jenayah yang lain," tambahnya.

Sebaliknya, kata badan itu lagi, penggunaan ISA bercanggah dengan cita-cita Malaysia untuk menjadi penunjang kepimpinan di rantau ini dan menjadi negara maju pada 2020.

Selain itu, ia juga menggesa kerajaan supaya menubuhkan sebuah badan penyiasat bebas untuk menyiasat dakwaan mengenai penyalahgunaan kuasa itu.

ISA membolehkan seseorang itu ditahan selama dua tahun tanpa dibicarakan, dan tempoh tahanan itu boleh dilanjutkan tanpa had.

Menurut badan itu lagi, sehingga bulan ini, terdapat 112 tahanan ISA, termasuk 65 tahanan yang didakwa anggota militan jaringan Jemaah Islamiah, sembilan didakwa anggota kumpulan militan tempatan, Kumpulan Militan Malaysia, 22 ditahan berhubung pemalsuan matawang dan 13 lagi kerana didakwa memalsukan dokumen.

Salah seorang tahanan tersebut, BSA Tahir, didakwa bekerjasama dengan saintis Pakistan, Abdul Qadeer Khan untuk menjual rahsia nuklear. Terdapat dua tahanan wanita, termasuk Norawizah Lee Abdullah, isteri kepada anggota JI warga Indonesia, Hambali, yang kini berada dalam tahanan Amerika, tambahnya./ Berita asal.