Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pelarian 'membisu' berhubung kedudukan penduduk Islam yang melarikan diri ke Malaysia selepas berlaku keganasan di tempat kediaman mereka di wilayah selatan Thai.

Jurucakap Pesuruhjaya PBB mengenai Pelarian (UNHCR), Ron Redmond berkata, agensi tersebut tidak akan membuat sebarang kenyataan berhubung status 131 pelarian Islam Thai tersebut.

Menurutnya, ianya kerana "keadaan yang sensitif sekarang di wilayah selatan Thai".

"Kami percaya, sebarang kenyataan mengenai kes individu terbabit akan lebih merumitkan lagi keadaan yang sudahpun rumit," katanya kepada pemberita,

Pelarian tersebut, sebahagian besarnya dari wilayah Narathiwat, masuk ke Malaysia bulan lalu kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Langkah sewajarnya

Isnin lalu, pihak berkuasa Thai berkata, kira-kira separuh daripada mereka mahu pulang, tetapi pihaknya masih menunggu sehingga UNHCR selesai menemubual mereka yang kini ditempatkan di pusat perlindungan di Malaysia, sebelum memutuskan langkah selanjutnya.

Kerajaan Thai turut menggesa UNHCR supaya tidak campurtangan, kerana mendakwa ada antara mereka adalah puak militan, manakala yang lainnya telah diperdaya lari ke Malaysia oleh pihak yang mahu 'mengantarabangsakan' isu tersebut.

"UNHCR kini bekerjasama rapat dengan kedua-dua buah kerajaan, dan mereka juga sedang berkerjasama untuk meredakan keadaan ini," kata Redmond.

"Kami yakin kedua-dua negara sedang melakukan yang terbaik untuk kebaikan 131 penduduk Islam Thai terbabit, dan pihak berkuasa Malaysia sudahpun bersetuju menyediakan tempat perlindungan sementara atas peri kemanusiaan," katanya.

Lebih 950 terkorban di wilayah selatan Thai hampir setiap hari dalam kejadian tembakan, serangan dan letupan yang menurut pihak berkuasa dilakukan oleh puak pemisah, kumpulan penjenayah dan masalah rasuah./ Berita asal

- AFP