Usul kecam Kongres AS dibawa ke Parlimen
Penyokong kerajaan akan mengemukakan usul di Dewan Rakyat minggu depan sebagai mengecam resolusi Kongres Amerika Syarikat yang menggesa kes bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dibicarakan semula atau digugurkan.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Datuk Dr Jamaluddin Mohd Jarjis berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional sebelum diusulkan.
"Sistem kehakiman mereka (Amerika Syarikat) double standard , tidak memberi keadilan kepada semua," katanya di luar dewan tengahari tadi, sambil memberi contoh perbezaan layanan warganegara berkulit hitam dengan putih di negara itu.
Jamaluddin menambah resolusi dewan perwakilan negara besar itu merupakan satu bentuk "ancaman baru" terhadap negara ini selepas pemulihan ekonomi negara.
"Rakyat harus sedar ancaman ini. Apabila ekonomi (negara) kita sudah berjaya (daripada krisis 1997), mereka hendak hancurkan (semula)," katanya.
Minggu lalu, kongres negara itu diminta mendesak kerajaan Malaysia menggugurkan semua tuduhan terhadap Anwar atau mengadakan perbicaraan baru dengan adil dan telus. Mereka juga menggesa semua rakyat Malaysia dibenarkan mengamalkan hak-hak kebebasan asasi.
Resolusi itu yang dirujuk kepada Jawatankuasa Hubungan Antarabangsa badan itu disokong oleh ahli-ahli dewan berkenaan, Chris Smith dari New Jersey, Ileana Ros-Lehtinen (Florida), Tom Lantos, Dana Rohrabacher dan Ed Royce (California), Niel Abercombie (Hawaii) dan Robert Wexler (Florida).
Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rais Yatim berkata sistem kehakiman di negara ini tidak tertakluk kepada pihak luar termasuk kenyataan ahli kongres Amerika Syarikat itu.
Keputusan mahkamah yang dibuat berdasarkan sistem perundangan kita sendiri, tambahnya.
Beliau percaya kerajaan akan meneliti hal berkenaan dan Wisma Putra akan mengeluarkan kenyataan khusus berhubung resolusi itu.
Ditanya sama ada usaha Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional, Mohamad Ezam Mohd Nor berceramah di luar negara merupakan salah satu punca resolusi itu, Rais berkata beliau tidak mempunyai bukti tetapi menjelaskan banyak pihak telah membuat dakwaan terhadap perkara itu.
"Memadai saya menyatakan bahawa rakyat Malaysia harus berhati-hati sebelum menggunakan jentera asing untuk merudum negara sendiri," katanya di luar dewan.
'Satu momokan'
Datuk Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) berkata dakwaan tidak terdapat ketelusan dalam sistem kehakiman negara ini merupakan "satu momokan yang harus ditolak".
Bagaimanapun Husam Musa (PAS-Kubang Kerian) menyokong resolusi kongres Amerika Syarikat itu berdasarkan keraguan rakyat Malaysia sendiri sebelum ini terhadap perjalanan sistem keadilan itu.
"Bukan sahaja kes ini wajar dibicarakan semula tetapi kedudukan perjalanan keadilan yang sekarang diragui perlu dipulihkan," kata Husam kepada malaysiakini .
Sementara Dr Wan Azizah Ismail (Keadilan-Permatang Pauh) enggan mengulas lanjut resolusi yang mempertahankan suaminya itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.