Melaka hilang RM270,000 kepada lima bekas exco
Melaka kehilangan RM270,000 apabila menjual lima buah kereta rasmi dengan harga rendah kepada bekas anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri itu, dakwa seorang wakil rakyat pembangkang.
Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Durian Daun, Betty Chew Gek Cheng memberitahu malaysiakini hari ini, jualan kereta jenis Mercedes Benz itu dapat dikesan daripada jawapan Ketua Menteri Datuk Wira Mohd Ali Rustam kepadanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri itu 24 November lalu.
Lima anggota majlis itu yang bersara tahun lalu ialah bekas Ketua Menteri Datuk Abu Zahar Isnin, Datuk Noordin Yaani, Datuk Mohd Sharif Mohd Drus, Datuk Mohd Yasin Sharif dan Datuk Gan Boon Leong.
"Diskaun yang diberikan adalah 40 peratus daripada harga jualan di pasaran, tidak termasuk nombor pendaftaran," kata Betty, sambil menambah negeri itu kehilangan RM193,000 daripada harga semasa yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), berjumlah RM484,000.
Bagaimanapun, Betty juga mempertikaikan harga semasa yang disediakan oleh JKR itu agak rendah berbanding harga pasaran yang jauh lebih tinggi.
Kereta model 220 (A) dan 230 (A) yang dibeli pada 1995 dan 1996 itu masing-masing dengan harga RM181,522 dan RM140,133 itu sepatutnya mengalami penurunan harga sekitar 30 peratus sahaja, dakwa Naib Pengerusi Wanita DAP itu lagi.
"Harga pasaran yang dinilai oleh JKR biasanya agak rendah dan konservatif, kereta mewah (seperti itu) telah turun hampir 50 peratus dalam masa tiga hingga empat tahun daripada (jumlah lima buah) RM825,000 kepada RM484,000. Ini adalah penurunan yag agak besar kerana mengikut penjual kereta Mercedes Benz, penurunannya tidak akan melebihi 30 peratus," jelasnya.
Beliau menambah, jumlah itu tidak termasuk harga nombor-nombor pendaftaran istimewa ML 3, MAF 5, MU 9 dan ML 9 yang diberikan secara percuma kepada anggota exco berkenaan. .
"Mengikut harga tender jualan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), nombor ini boleh dijual sampai RM20,000 (bagi setiap) satu nombor," jelasnya, sambil menyatakan jumlah empat nombor itu boleh mencecahkan RM80,000.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.