INKUIRI SUHAKAM | Seorang saksi memberitahu siasatan awam hari ini, dia dimaklumkan seorang lelaki dari Perlis - bernama Rozain - mengaku bertanggungjawab menyebabkan kehilangan Amri Che Mat pada malam 24 Nov 2016.

Bagaimanapun Pengerusi Inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Datuk Mah Weng Kwai menyatakan, keterangan saksi terbabit, Faisol Abdul Rahman, dibuat berdasarkan khabar angin tiga individu lain.

Faisol ialah aktivis pertubuhan diasaskan Amri, Perlis Hope.

"Ini berdasarkan khabar angin daripada khabar angin daripada khabar angin lain. Ini sangat bahaya," katanya.

Bagaimanapun kata Mah (gambar) jika keterangan diberikan Faisol itu betul, ia adalah maklumat yang sangat penting.

Pada masa sama bekas hakim Mahkamah Rayuan itu memberitahu, ada banyak aspek daripada keterangan saksi mesti dipastikan kesahihannya terlebih dulu.

Terdahulu Faisol berkata beberapa hari selepas Amri dilaporkan diculik dia memaklumkan maklumat mengenai "Rozain" kepada seorang anggota polis dikenali sebagai Insp Khor.

Pegawai polis itu kemudian disahkan kakitangan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar yang menyiasat kehilangan Amri.

Mengaku sepupu dia

Apabila disoal Mah mengenai sumber maklumat mengenai Rozain, Faisol berkata, dia mengetahuinya terus daripada seorang rakan bernama Hafiz.

"Maklumat yang disampaikan ialah seseorang mengaku terlibat dalam penculikan itu.

"Saya menerima maklumat berkenaan daripada seorang kawan bernama Hafiz yang diberitahu oleh Hisham, yang dimaklumkan oleh Azri," katanya.

Menurut Faisol dia tidak mengenai orang bernama Rozain namun dimaklumkan dia berasal dari Perlis.

Dia turut menyatakan ada berjumpa dengan Azri untuk bertanyakan maklumat mengenai "Rozain". Namun katanya lelaki terbabit "panik dan mengelak" daripada menjawab pertanyaannya.

"Lepas itu saya juga berjumpa dengan Mukhriz yang lebih akrab dengan Azri supaya dia boleh bertanya lebih lanjut mengenai Rozain.

"Dia (Mukhriz) beritahu saya, Rozain itu sepupu dia," katanya.

Sejak kehilangan Amri, Faisol berkata, dia sudah berhubung dengan polis kira-kira 10 kali untuk mendapatkan maklumat terkini siasatan mereka namun semuanya tidak membuahkan hasil.

Ditanya peguam yang mewakili keluarga Amri, Faisol memberitahu, dia menghubungi Khor dan pernah berjumpa sambil minum kopi dengan pegawai penyiasat terbabit.

"Tapi masih tak banyak maklumat yang dapat," katanya.

Tiada maklumat dari Bukit Aman

Faisol juga berkata dia pergi ke Bukit Aman pada Mac tahun lalu berkait dengan kehilangan Amri.

Terdahulu Faisol menyatakan dia menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada rakannya - Anwar - yang memberitahu kes Amri dipindahkan dari Perlis ke Bukit Aman.

Untuk membuktikan kata-kata itu, menurut Faisol, Anwar mengirimkan kepadanya tangkap layar (screenshot) perbualannya dengan Khor.

"Anwar tanya status Amri kemudian Khor bagitahu dia diminta menghentikan siasatan dan menyerahkan kes berkenaan kepada Bukit Aman," katanya.

Ekoran maklumat itu Faisol mendakwa dia bersama isteri Amri, Norhayati Ariffin, pergi ke Bukit Aman untuk mengetahui perkemangan terbaru kes berkenaan.

"Kami dimaklumkan mereka tidak menerima sebarang fail mengenai kehilangan Amri," katanya sambil menambah, dia kemudian memberikan nombor telefon Khor kepada seorang pegawai bernama Pedro.

Pegawai terbabit, kata Faisol, kemudian berlalu dan mula bercakap di telefon. Namun katanya dia tidak mendengar perbualan berkenaan.

"Sampai hari ini tak ada maklum balas dari Bukit Aman," katanya.

Inkuiri itu diadakan Suhakam bagi menyiasat kehilangan Amri serta dua kehilangan "paksaan atau sukarela" seperti ditakrifkan Konvensyen Antarabangsa Bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Dipaksa (ICPPED).

Mengikut konvensyen itu ICPPED merujuk kes kehilangan paksa sebagai penangkapan, penahanan, penculikan atau apa-apa bentuk kehilangan kebebasan disebabkan oleh ejen-ejen negara atau orang atau kumpulan yang bertindak dengan kebenaran, sokongan atau persetujuan negara.

Turut disiasat ialah kehilangan paderi Joshua Hilmy serta isterinya Ruth Sitepu.