Pembinaan: Hapuskan rasuah menerusi sistem tender terbuka
Sistem tender terbuka adalah antara beberapa cadangan penyelesaian yang dijangka dikemukakan kepada kerajaan bagi menghapus rasuah yang dikatakan berleluasa dalam industri pembinaan negara.
Sistem tender terbuka adalah antara beberapa cadangan penyelesaian yang dijangka dikemukakan kepada kerajaan bagi menghapus rasuah yang dikatakan berleluasa dalam industri pembinaan negara.
Cadangan itu sedang disediakan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) ekoran forum dua hari di Kuala Lumpur awal bulan ini yang telah membincangkan masalah itu secara panjang lebar.
Di forum tersebut, pakar-pakar industri mendedahkan sektor pembinaan yang bernilai berbilion ringgit itu "cukup terdedah" kepada rasuah dengan "terlalu ramai pihak terbabit dalam seluruh rangkaian kerja" yang disebut sebagai antara penyebab berlakunya gejala tersebut.
Presiden IIM Datuk Dr Sulaiman Mahbob memberitahu Bernama hari ini IIM dan CIDB berharap dapat mengemukakan cadangan itu kepada Kementerian Kerja Raya dalam beberapa minggu akan datang.
"Kita serahkan kepada menteri berkenaan sekiranya berpendapat cadangan itu harus dibawa ke Kabinet. Peranan IIM bukan bersifat eksekutif atau mengawal selia, tetapi setakat menyelidik dan membincangkan isu rasuah.
"Jika tidak, saluran saya sentiasa menerusi Jawatankuasa Kebangsaan mengenai Integriti Pentadbiran Kerajaan, yang dipengerusi Perdana Menteri," katanya.
Rekod prestasi
Dalam memperjuangkan sistem tender terbuka bagi perolehan awam dan swasta, beliau berkata: "Bila anda ada tender terbuka, anda akan dapat harga terbaik".
Bentuk tender lain adalah tender yang dirundingkan bagi mereka yang mengemukakan idea atau rekabentuk sesebuah projek dan tender tertutup, dalam mana 10 hingga 20 kontraktor berdaftar dengan rekod prestasi yang baik, dipelawa mengemukakan bida.
Dr Sulaiman berkata, bagi mengelak kelewatan, prosedur kelulusan harus diseragam sedapat mungkin, tanpa mengorbankan standard teknikal dan bayaran hendaklah juga dipercepat.
"Bila berlaku kelewatan, orang boleh menganggap mereka hendakkan sesuatu," katanya.
Presiden Institut Jurutera Malaysia Prof. Ow Chee Sheng menyarankan diwujudkan sistem kelulusan dan penyampaian telus dalam industri yang penuh dengan karenah birokrasi itu.
"Sebarang perkembangan terbaru haruslah diumumkan, dengan menyebut had masa. Bila penyampaian terlewat, ini harus juga telus supaya orang ramai dapat menilai prestasi pihak-pihak terlibat," katanya.
Gaji rendah
Menurut Presiden Kuala Lumpur Infrastructure University College Prof. Dr Mahadzer Mahmud, kontraktor swasta membayar hingga 10 peratus daripada kos projek untuk rasuah.
Seorang pakar runding yang tidak mahu namanya disebut, mendakwa tahap rasuah di kebanyakan projek pasang siap adalah jauh lebih tinggi.
Dr Sulaiman dari IIM berkata, cadangan yang akan dikemukakan kepada kerajaan akan termasuk gesaan supaya pendedah rasuah dilindungi dan diadakan kawal selia tersendiri dalam sektor pembinaan.
Satu lagi cadangan ialah perlunya diadakan tataetika, khususnya bagi kontraktor yang tidak seperti arkitek, jurutera dan profesional lain tidak mempunyai tataetika sedemikian.
Dr Mahadzer juga berkata, ramai kakitangan awam yang menguruskan kelulusan pelbagai peringkat projek dalam rangkaian kerja industri berkenaan, bergaji rendah dan ini mendorong mereka mencari "wang tambahan."
Kementerian Kerja Raya telah menggesa diadakan tataetika yang mengawal industri itu.
Mengenai hal ini, Dr Sulaiman berkata: "Kita akan bekerjasama dengan CIDB dan beberapa kontraktor tentang apa yang harus mengawal tingkahlaku mereka.
Mengenai peruntukan undang-undang bagi melindungi pendedah rasuah, beliau berkata: "Ini harus dikaji dengan teliti oleh Jabatan Peguam Negara."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.