Larangan pembakaran terbuka ditarik balik
Arahan larangan pembakaran terbuka di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan telah ditarik balik berkuatkuasa hari ini berikutan status kualiti udara seluruh negara bertambah baik.
Arahan larangan pembakaran terbuka di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan telah ditarik balik berkuatkuasa hari ini berikutan status kualiti udara seluruh negara bertambah baik.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Datuk Rosnani Ibarahim berkata bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di 51 stesen pengawasan kualiti udara JAS sehingga 11 pagi semalam tidak mencatatkan sebarang bacaan IPU di tahap tidak sihat.
"Pada keseluruhannya 38 kawasan berada di tahap baik dan 13 kawasan berada di tahap sederhana," katanya dalam satu kenyataan.
Rosnani berkata, perintah larangan pembakaran terbuka dikeluarkan bagi negeri-negeri terbabit pada 9 Ogos dan 11 Ogos lalu mengikut Seksyen 29AA(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan) 2001 berikutan jerebu teruk yang melanda negara.
Katanya, status kualiti udara di lapan kawasan di Lembah Klang Gombak, Pelabuhan Klang, Kuala Selangor, Petaling Jaya, Kajang, Kuala Lumpur, Shah Alam dan Putrajaya serta dua kawasan di Negeri Sembilan (Nilai dan Seremban) telah kembali pulih.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, kebanyakan kawasan berkenaan berada pada tahap kualiti udara yang sederhana manakala jarak penglihatan juga dilaporkan baik dengan bacaan melebihi 10 kilometer.
Rosnani berkata, daripada pemantauan punca pencemaran yang dijalankan JAS pada 26 September lalu, tiada kes baru pembakaran terbuka dikesan di kawsasan yang sebelum ini berlaku kejadian itu.
Laporan satelit oleh Asean Specialised Meteorological Centre hanya menunjukkan satu titik panas dikesan di Selangor dan tiada titik panas di Negeri Sembilan, katanya.

