Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketika dibawa ke dewan bedah untuk membuang tumor di buah pinggangnya Disember lalu, tokoh veteran DAP Lim Kit Siang merasakan itu adalah penamat baginya.

Itulah yang bermain di fikirannya pada waktu itu, katanya dalam wawancara bersama media di Johor Bahru, hari ini.

"Sebelum pembedahan, saya fikir ini adalah pengakhiran kisah saya, hidup saya," katanya yang berusia 77 tahun.

Namun, pada masa sama, anggota parlimen Gelang Patah itu berkata beliau tetap tidak dapat membuang soal politik dan masa depan negara dalam fikirannya.

"Saya juga berfikir, jika inilah penamatnya, bagaimana dengan hala tuju (Malaysia) selepas ini?" katanya lagi.

Lim didiagnos menghidap kanser tahap pertama.

Selepas menjalani pembedahan itu, beliau berehat selama sebulan sebelum kembali ke pentas politik dalam satu program di Johor Bahru, semalam.

Ketika ditanya jika ada menyampaikan pesanan terakhir kepada partinya, Lim enggan menjawabnya dan hanya berkata "perkara itu saya simpan untuk biografi saya."

Pada 18 Disember lalu, Lim perlu membuang 30 peratus bahagian buh pinggangnya dan kemudian berehat selama sebulan - yang menurutnya cuti terpanjang yang pernah diambilnya sepanjang lima dekad dalam dunia politik.

Selain membaca, beliau menghabiskan masa rehat itu dengan bermain permainan telefon Pokemon Go, dan kini berada di tahap ke-37.

Lim memang diketahui sangat menggemari permainan tersebut. Ketika ditanya akan sebabnya, beliau hanya berkata ia hanya hobi di masa lapang.

"Tiada apa-apa, hanya untuk masa lapang," jawabnya ringkas.

Lihat Komen
ADS