Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lim: Tukar kerajaan sekarang atau tunggu 20 tahun lagi

Pilihan raya umum ke-14 yang akan dijalankan tidak lama lagi adalah peluang terakhir rakyat untuk menukar kerajaan, kata Lim Kit Siang.

Ketua Parlimen DAP itu berkata, jika rakyat gagal menggunakan peluang ini, mereka perlu menunggu sehingga 20 tahun lagi untuk berbuat demikian.

Katanya, kemungkinan itu akan terjadi jika Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai perdana menteri selepas PRU nanti, lebih-lebih lagi jika beliau mendapat majoriti dua pertiga.

"Bukan sahaja kita akan melangkah ke belakang (dalam politik), kita juga perlu menunggu 10 hingga 20 tahun lagi untuk mengubah kerajaan melalui proses demokrasi," katanya dalam wawancara bersama media di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika kempen #UndiROsak sedang diperkatakan di media sosial.

Ia antaranya berikutian tindakan Pakatan Harapan (HARAPAN) menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri mereka.

Lim berkata, mereka yang mahu mengambil langkah itu sebenarnya tidak mempunyai "pilihan ketiga".

"Apa pilihan ketiga? Ia akan berakhir dengan sistem yang ada sekarang. Ini bermakna 'pilihan ketiga' tidak wujud," kata anggota parlimen Gelang Patah itu.

Katanya, penyokong #UndiRosak tidak memahami secara mendalam senario politik negara sekarang, dan pada masa sama tidak melihatnya secara meluas.

"Kami bukan hanya mahu menukar kerajaan dan perdaan menteri. Tetapi lebih penting, kami mahu satu siri perubahan (sistem)," katanya.

Lim bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sama ada kempen itu akan memberi kesan kepada HARAPAN pada PRU nanti.

Beliau hanya berkata kempen seumpama itu bukanlah perkara baru di negara ini, kerana Parti Buruh Malaya pernah berkempen untuk memboikot pilihan raya umum pada 1969.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS