Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Chini di Pahang, Abu Bakar Harun cedera parah dalam satu kemalangan ketika melalui lebuhraya Pantai Timur (LPT) malam tadi.

Abu Bakar, 45, dari Felda Chini Tiga, Pekan retak tulang belakang selepas kereta yang dinaikinya bersama dua yang lain pemandu dan setiausahanya terbalik di Km 85 lebuhraya tersebut, dekat Kampung Sertik, Bentong.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Negeri Pahang, Supt Baharuddin Sarbaini berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bersama setiausahanya Ramli Omar, 45, dari Kampung Bukit Udang, Pekan pada jam 7.30 malam.

Semasa tiba di tempat kejadian, kereta berkenaan dipercayai gagal dikawal sebelum melanggar tebing bukit dan terbalik menyebabkan mangsa, yang duduk di bahagian belakang, mengalami cedera parah di bahagian belakang badan.

"Manakala Ramli yang duduk di bahagian penumpang hadapan dan pemandu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Menurut laporan Bernama, Baharuddin berkata, Abu Bakar kemudiannya dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Difahamkan kejadian itu berlaku ketika keadaan jalan licin akibat hujan selain keadaan sekeliling yang gelap berikutan tiada lampu jalan di kawasan itu, katanya.