Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tak soal siasat Siti Hasmah, hanya ambil keterangan
Diterbitkan:  Jan 28, 2018 8:54 PM
Dikemaskini: 11:58 PM

Pihak polis tidak menyiasat, sebaliknya hanya mengambil keterangan Dr Siti Hasmah Ali, isteri kepada Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Dr Mahathir Mohamad berkenaan penglibatan beliau dalam perhimpunan ‘Wanita Bantah Politik Toksik' September tahun lalu, kata suatu kenyataan Bukit Aman hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd juga mengingatkan pihak-pihak yang cuba memanipulasi keadaan itu.

"PDRM ingin menjelaskan Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dipanggil memberikan keterangan bagi membantu melengkapkan siasatan satu perhimpunan yang dianjurkan tanpa notis pada September tahun lalu. Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali tidak sesekali disoal-siasat tetapi diambil keterangan secara profesional dan kedudukan serta status beliau di negara ini.

"Malah beliau (Siti Hasmah) sendiri membuat kenyataan umum bahawa beliau tidak berhadapan dengan sebarang bentuk intimidasi," kata Wan Ahmad Najmuddin.

Beliau juga memberi peringatan terhadap kenyataan 'berbaur hasutan' oleh pihak yang cuba memanipulasi isu tersebut.

"Ini adalah sebahagian daripada proses siasatan dan tidak melibatkan sebarang bentuk tekanan daripada mana-mana pihak," katanya.

Jumaat lalu, dua pegawai polis dari Bukit Aman merakamkan keterangan Siti Hasmah di bangunan Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur selama lebih sejam.

Peguam beliau, Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberitahu pemberita kes itu disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Perhimpunan Aman.

Dalam ucapan beliau pada majlis bantahan yang dikenali 'himpunan ungu' itu, Siti Hasmah berucap mengenai keganasan terhadap wanita dan turut mengulas insiden pelakon Sulaiman Yassin atau terkenal dengan gelaran Mat Over yang menampar penerbit filem David Teo di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika suatu sesi dialog.

Siti Hasmah berkata zaman dahulu tiada yang pernah ditampar di hadapan perdana menteri.

Lihat Komen
ADS