Kes saman fitnah yang difailkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail terhadap Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kelantan Asran Alias berakhir dengan penyelesaian luar mahkamah.

Persetujuan itu dicapai di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Bache di Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam.

"Pada prosiding di mahkamah itu, kedua-dua pihak diberi peluang untuk berbincang sekali gus mencapai persetujuan bersama.

"Dan (Asran) memohon maaf kerana menimbulkan isu tersebut, " kata peguam bela Hisham Fauzi kepada Malaysiakini.

Berdasarkan persetujuan itu, Asran yang didakwa membuat kenyataan fitnah di Facebook pada 8 Jun 2017, perlu menarik balik kenyataan tersebut dan menyiarkan permohonan maaf kepada Wan Zawawi di laman Facebooknya selama seminggu.

Selain itu, Asran juga perlu menulis permohonan maaf di laman Facebook Wan Zawawi sendiri.

Wan Zawawi memfailkan saman pada 19 September lalu, selepas mendakwa Asran memfitnahnya sebagai melobi untuk menjadi calon pilihan raya.

Beliau yang pernah bertanding di Parlimen Machang dengan tiket PKR pada pilihan raya umum lalu juga mendakwa Asran memfitnahnya menyalahgunakan dana kerajaan untuk membayar tiket penerbangan isterinya ke luar negara.