Kes Indira Gandhi: Tiada pilihan kecuali ramaikan MP PAS
Umat Islam di Malaysia tiada pilihan lain kecuali dengan meramaikan anggota parlimen PAS yang sentiasa konsisten dalam isu menentukan status agama anak-anak seperti dalam kes M Indira Gandhi yang diputuskan, semalam.
Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS Kelantan, Nik Baharum Nik Abdullah berkata, ahli parlimen PAS telah berbahas secara terbuka di parlimen berdepan dengan semua yang menentang biar pun tinggal beberapa belas ahli parlimen sahaja di dalam parlimen.
"Tentu sahaja dapat dibayang, apabila ahli parlimen PAS menguasai majoriti, tentu sahaja kerajaan dapat memuktamadkan undang-undang yang selaras dengan kehendak agama.
"Tidak dapat tidak, umat Islam perlu bersatu dalam menunjukkan kesatuan dalam menolak kemunculan semula seksyen 88A dengan mengundi ahli parlimen yang berfikir mengikut kaca mata Islam," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Semalam Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa takrif "ibu bapa" harus bersifat majmuk dalam keputusannya berhubung kes penukaran agama satu pihak membabitkan Indira Gandhi dan bekas suaminya, Mohd Ridhuan Abdullah.
Oleh itu, panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan bahawa penukaran agama tiga anak oleh bapa mualaf mereka, hampir 10 tahun lalu terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.
Mahkamah kali ini tidak lagi terikat dengan keputusan kes R Subashini lawan T Saravanan pada tahun 2007 yang menyaksikan isteri yang beragama Hindu itu diarahkan untuk mencari jalan penyelesaian di Mahkamah Rayuan Syariah untuk menghentikan suaminya yang beragama Islam daripada menukar agama anak mereka tanpa persetujuannya.
Sementara itu, Nik Baharum berkata keputusan panel hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes tersebut amat menyedihkan.
Menurut beliau, mereka meminggirkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang terdahulu dalam kes Subashini lwn Sarawanan.
"Hasilnya pemelukan agama Islam anak-anak yang masing-masing sekarang berumur 20, 19 dan lapan tahun oleh si bapa yang memeluk Islam telah dibatalkan oleh mahkamah tertinggi negara ini.
"Saya percaya keputusan tersebut tidak memberi kesan kepada anak yang sudah dewasa. Pilihan sekarang di tangan mereka sama ada mahu kekal atau tukar dan anak yang berumur lapan tahun sekarang apa agamanya?" katanya.
Tambah beliau, implikasi keputusan tersebut juga menyebabkan pada hadapan kita terdapat dua versi interpretasi terhadap Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama bagi anak di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.
Katanya, ia bermaksud apabila di hadapkan dengan kes-kes yang sama, hakim-hakim dalam negara ini bebas mengikut mana-mana versi tersebut sehinggalah apabila mana kerajaan memuktamadkan versi yang dipilih oleh kerajaan ke dalam akta.
"Sehingga hari ini kerajaan belum memuktamadkannya. Cubaan terakhir adalah pada cadangan terhadap Akta 164 yang telah ditarik balik semasa sidang parlimen lepas.
"Mengikut laporan media kerajaan sedia memasukkan peruntukan tersebut ke dalam Akta 164. Iaitu selepas mereka memenangi semula pilihan raya ke-14. Sedangkan mereka tahu majoriti umat Islam tidak bersetuju dengan cadangan yang bercanggah dengan pandangan jumhur (kebanyakan) ulama itu," jelas Nik Baharum.

