GLOBAL | Sewaktu persaingan dalam pemilihan presiden Indonesia 2014, sempat tersebar khabar bahawa dia sebenarnya bukan beragama Islam.
Untuk menangkis serangan seterunya pasukan Joko Widodo memuat naik gambar serta keterangan mengenai ibadah haji yang dikerjakan sebelum itu.
Semalam tokoh yang lebih mesra dikenali sebagai Jokowi itu menjadi imam kepada Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani.
Mereka mendirikan solat Zuhur bersama-sama di bangunan kerajaan di Kabul. Tempo melaporkan ada kira-kira tiga saf menyertai solat berkenaan.
Lapor media, Jokowi menjadi imam atas permintaan Ashraf sendiri.
Sebelum bermula, Jokowi diberikan pakol (sejenis songkok tradisional Afghanistan) oleh Ashraf, manakala presiden Afghanistan itu pula memakai songkok hitam.
Bekas speaker parlimen Indonesia dan presiden Parti Keadilan Sejahtera, Hidayat Nur Wahid, memuji Jokowi yang dianggap melakukan tugasnya - sebagai imam - dengan baik.
"Sesuatu yang luar biasa apabila presiden Indonesia melawat Kabul dan menjadi imam, dan dia melakukan fungsinya dengan baik," katanya semalam.
Enam hari lima negara
Menurut Hidayat seorang imam adalah tokoh yang mampu menyatukan orang ramai dan berharap nilai itu turut diterjemah dalam pentadbiran Jokowi.
Katanya walaupun menjadi presiden Jokowi tetap seorang hamba Allah dan perlu tunduk kepada tuhan pada setiap masa.
Sementara itu Jokowi sendiri menceritakan serba ringkas kunjungannya ke Afghanistan itu.
Kata bekas usahawan perabot itu, walaupun Kabul diselaputi kedinginan salji sambutan yang diberikan kerajaan begitu hangat.
Katanya, kali pertama pemimpin tertinggi Indonesia melawat Afghanistan ialah pada 1961 dan dilakukan Presiden Sukarno.
"Terima kasih Presiden Ashraf Ghani, terima kasih Afghanistan, yang menyambut saya dengan hangat. Semoga Allah SWT menganugerahkan kedamaian di negeri ini," katanya.
Jokowi mengadakan lawatan rasmi enam hari ke lima negara di Asia dan Kabul adalah persinggahan terakhirnya.
Beliau juga sempat melawat kem pelarian Rohingya di Bangladesh pada Ahad.
Bagaimanapun tidak seperti kebiasaan sesetengah pemimpin lain Jokowi tidak memuat naik gambarnya mengerjakan solat berkenaan.
