Kabinet dalam mesyuaratnya hari ini membuat keputusan supaya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz hadir di Dewan Rakyat untuk menjelaskan isu berkaitan permit import (AP) kenderaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kabinet mahu Rafidah berbuat demikian sebaik sahaja beliau kembali dari tugasnya di luar negara.

"Kabinet tetapkan Rafidah beri kenyataan dalam Parlimen sebaik sahaja dia berada dalam negara. Kita jangkakan tak lama lagi Rafidah akan buat kenyataan di Parlimen," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Rafidah kini berada di Vientiane, Laos menghadiri Mesyuarat Menteri Ekonomi Asean dan dijangka kembali pada 1 Oktober. Minggu lepas beliau berada di San Francisco bagi satu misi perdagangan dan tidak pernah hadir sejak Dewan Rakyat bersidang pada 19 September.

Najib yang ditanya sama ada isu Rafidah dibincangkan dalam kabinet hari ini berkata Rafidah mesti membuat penjelasan isu AP itu kerana ia adalahkeputusan kabinet dan "kabinet boleh membuat keputusan mengenai apa saja".

Usul Kit Siang

Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed

Nazri Abdul Aziz berkata berikutan keputusan kabinet itu, Dewan Rakyat dijangka menerima usul yang dikemukakan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang pada 20 September lalu, menggesa Rafidah datang sendiri menjawab persoalan berbangkit berkenaan AP.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib ketika itu, menangguhkan keputusan mengenainya dan mengikut peraturan mesyuarat, beliau mempunyai masa 14 hari daripada tarikh itu sama ada untuk menerima atau menolak usul berkenaan.

Isnin lalu,Lim mengemukakan satu usul meminta Ramli mempercepatkan keputusan mengenai usul terdahulu, tetapi ditolak.

Mengulas lanjut keputusan kabinet itu pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur, Mohamed Nazri berkata Rafidah mesti hadir sendiri dan tidak boleh menghantar wakil ataupun menjawab secara bertulis perkara itu.

Ditanya sama ada Rafidah telah dimaklumkan mengenai keputusan kabinet itu, beliau berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman akan berbuat demikian pada kadar segera.

"Saya pasti menjelang minggu depan beliau akan diberitahu mengenainya," katanya .

Isu AP menjadi hangat selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan cara pemberian AP dilaksanakan dengan berkata antara lain ia hanya memberi manfaat kepada segelintir Bumiputera dan ada di kalangan mereka yang mendapat AP bukannya merupakan peniaga automotif.