Rafidah dijangka hadiri pembentangan bajet esok
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz dijangka menghadiri sidang Dewan Rakyat esok bagi mengikuti pembentangan bajet 2006 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz dijangka menghadiri sidang Dewan Rakyat esok bagi mengikuti pembentangan bajet 2006 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Nanyang Online petang ini memetik pegawai Miti sebagai berkata Rafidah hanya dijangka menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen mengenai kementeriannya minggu depan.
Walaupun laporan itu tidak menyebut secara khusus, tetapi soalan-soalan utama yang dibangkitkan oleh penyokong kerajaan dan pembangkang adalah berkaitan dengan isu pemberian Permit Import (AP).
Rafidah berlepas pulang hari ini daripada menghadiri Mesyuarat Menteri Ekonomi Asean (AEM) di Vientiane.
Mesyuarat Kabinet semalam juga mengarahkan Rafidah supaya hadir di Dewan Rakyat untuk menjawab sendiri soalan dari ahli Parlimen berhubung isu AP.
Bercakap kepada Bernama di Vientiane semalam, Rafidah menafikan beliau lari daripada tanggungjawabnya di Dewan Rakyat, sebaliknya sedang menjalankan tugas untuk negara.
Beliau berkata, adalah tidak adil membuat kesimpulan sedemikian sedangkan beliau berada di luar negara demi menjalankan kepentingan negara.
"Saya datang ke sini untuk bekerja, seperti yang anda boleh lihat saya sedang menjalankan tugas saya. Saya bimbang sekiranya mereka tidak dapat membuat sebarang keputusan di sini, ia boleh menjejaskan Sidang Kemuncak Asean Disember ini dan menjejaskan imej kita selaku tuan rumah," katanya.
Beliau berkata, adalah amat penting untuk menyelesaikan segala isu di Mesyuarat Menteri Ekonomi Asean (AEM) kali ini memandangkan Malaysia perlu membuat persiapan bagi menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean ke-11 di Kuala Lumpur.
Rafidah berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang yang membangkitkan persoalan isu ketidakhadirannya untuk menjawab persoalan anggota Dewan Rakyat mengenai isu Permit Import (AP).
Lim dilaporkan sebagai berkata, Rafidah perlu dipecat daripada kabinet ekoran isu AP yang masih tidak selesai sejak ditimbulkan bulan Mei tahun ini.
Sertai lawatan PM
Isu itu timbul selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan cara pemberian AP dilaksanakan, yang antara lain mengatakan ia hanya memberi manfaat kepada sebahagian kecil sahaja Bumiputera dan ada di antara pemerima AP bukanlah ahli perniagaan dalam bidang automotif.
Rafidah berkata: "Lim Kit Siang opposition (pembangkang)... dia bukannya faham kepentingan negara, nak hadir persidangan (Parlimen) kemudiannya duduk dua minit jawab soalan-soalan yang dikemukakan, mesyuarat di sini tinggalkan untuk Sidek (Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Mohd Sidek Hassan) dan Ooi (Timbalan Ketua Setiausaha Datuk Ooi Say Chuan)."
"Tolonglah... bukannya saya tidak percaya kepada para pegawai saya tetapi ini adalah mesyuarat peringkat menteri. Sekiranya menteri tidak hadir, mereka tidak boleh membuat keputusan," katanya.
Sambil menjawab kenyataan Lim berhubung rekod kehadirannya di Dewan Rakyat, Rafidah berkata, beliau perlu ke luar negara beberapa kali tahun ini, tujuh kali menyertai lawatan Perdana Menteri dan 10 kali dalam misi perdagangan.
Lim berkata, rekod Parlimen menunjukkan Rafidah hadir ke Dewan Rakyat hanya dua hari pada tahun 2000, lima hari (2001), dua hari (2002), enam hari (2003), dua hari (2004) dan dua hari sepanjang tahun ini.
Rafidah berkata, sebaik sahaja pulang dari misi dagangan ke Amerika Syarikat minggu lalu, beliau terpaksa dimasukkan ke hospital akibat masalah kesakitan dari lutut yang memerlukannya menjalani pembedahan pada 6 Oktober ini.
Beliau akan berlepas pulang ke Malaysia pagi ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.