Kerajaan, melalui anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), telah mengambil alih sepenuhnya pengurusan syarikat PSC Naval Dockyard Sdn Bhd yang diberi kontrak penswastaan untuk menyiapkan enam Kapal Peronda Generasi Baru (NGPV) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kini terpulang kepada pengurusan baru, sama ada akan mengambil tindakan terhadap pengurusan syarikat terdahulu yang gagal menyiapkan kontrak mereka.

"Biarlah pengurusan yang baru meneliti apa yang telah berlaku (tetapi) kami akan memastikan prinsip kebertanggungjawaban terus didukung," katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu, ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2005) bagi Kementerian Pertahanan, Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, pembinaan kapal itu kini dikendalikan sepenuhnya oleh anak syarikat LTAT.

"Mengambil alih pengurusan itu adalah langkah pertama kerajaan dan kita telah berjaya melakukannya," katanya.

Menurut laporan Bernama , Najib berkata langkah kedua kerajaan dalam menyelesaikan masalah itu ialah untuk menyiapkan pembinaan dua buah NGPV terlebih dahulu dan usaha itu juga hampir menampakkan kejayaan apabila kedua-dua kapal itu kini hampir siap.

"Cuma ada sedikit masalah dari segi sistem 'command and control' yang belum memenuhi spesifikasi TLDM tapi ikut perkiraannya kapal yang pertama mungkin boleh siap Januari tahun depan," katanya.

Peruntukan tambahan

Najib berkata, apabila siap, kapal itu akan diserahkan kepada TLDM untuk menjalani latihan sebelum pengurusan baru memberi tumpuan untuk menyiapkan kapal yang kedua.

Mengenai peruntukan tambahan yang dikatakan diminta bagi projek itu, Najib berkata, pada masa ini, kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

"Kerajaan belum ambil apa-apa keputusan berhubung dengan peruntukan tambahan yang dikatakan 30 peratus lagi, sebab kita nak teliti sedalam-dalamnya supaya tidak ada kerugian pembayaran dari segi wang rakyat," katanya.

Beliau menjelaskan, tindakan kerajaan memberikan PSC Naval Dockyard Sdn Bhd kontrak penswastaan untuk menyiapkan enam buah kapal berkenaan diputuskan pada 1993 semasa kerajaan melaksanakan dasar penswastaan.

Mengenai pembinaan kapal selam, Najib berkata pembinaan kapal itu berjalan lancar dan kapal pertama serta kedua telah lebih kurang 40 peratus siap.

"Dari segi pembinaan fizikalnya ikut jadual, cuma dari segi latihannya memakan masa kerana kita tidak boleh kompromi dari segi tempoh latihan kerana pengendalian kapal selam ini amat sensitif dan oleh itu kita kena laksanakan dalam tempoh masa yang secukupnya," katanya.

Menjawab mengenai dasar pertahanan negara yang dibangkitkan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Najib berkata Malaysia sememangnya mempunyai dasar pertahanan negara dan perancangan yang boleh digunapakai jika berlaku sesuatu ancaman terhadap negara.

"Tapi dasar kita bukan bererti kita nak memikirkan tentang ancaman daripada selatan ke, utara ke, timur ke. Kita punya dasar ialah untuk membangunkan pertahanan negara supaya kita dapat melindungi kedaulatan negara kita sekiranya ada ancaman dari luar," katanya.