Ketua Audit Negara kesal kekeliruan laporan akhbar
Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil kesal dengan kekeliruan di pihak akhbar yang menyiarkan laporan berhubung penyelewengan pengisytiharan harga kereta import dan kelemahan kawalan gudang berlesen melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia semalam.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil kesal dengan kekeliruan di pihak akhbar yang menyiarkan laporan berhubung penyelewengan pengisytiharan harga kereta import dan kelemahan kawalan gudang berlesen melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia semalam.
Hadenan berkata, beliau telah menghubungi editor akhbar terbabit untuk mendapatkan penjelasan selain memaklumkan tentang kedudukan sebenar isu yang dibangkitkan itu.
Menurutnya, angka-angka yang digunakan dalam laporan itu sebenarnya terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2001 ketika memperkatakan tentang pengisytiharan harga kereta import.
"Tidak timbul isu berkenaan dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2004 seperti yang dilaporkan kerana ia hanya akan dibentangkan di Parlimen Jumaat ini," katanya di Putrajaya hari ini.
Akhbar Berita Harian dan New Straits Times semalam memetik Hadenan sebagai menyebut dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2004, bahawa pegawai kastam memberikan potongan cukai kepada pengimport kereta di dua negeri walaupun mereka tidak layak mendapat keistimewaan itu.
Hadenan dipetik sebagai berkata, diskaun yang diberikan kepada pengimport kereta berkenaan melibatkan cukai tidak dikutip sebanyak RM27.55 juta.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menjelaskan bahawa isu berhubung kelemahan kawalan gudang berlesen pula dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2002.
Perbetul kelemahan
"Berdasarkan kepada semakan susulan yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara, adalah didapati Jabatan Kastam telah mengambil beberapa tindakan untuk memperbetulkan kelemahan yang dibangkitkan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Berita Harian dalam satu laporan hari ini menyebut berita muka depannya semalam berhubung penyelewengan kastam dibuat berdasarkan laporan tahunan Jabatan Audit Negara 2004 yang disiarkan dalam lamanwebnya.
Mengulas perkara itu, Hadenan berkata laporan tahunan jabatan itu berbeza dengan Laporan Ketua Audit Negara 2004.
"Laporan tahunan Jabatan Audit Negara, sepertimana laporan tahunan kementerian dan jabatan lain, melaporkan pelbagai aktiviti jabatan di samping memuatkan beberapa rencana mengenai aktiviti utamanya," katanya.
Jelasnya kepada Bernama : "Dalam laporan tahunan jabatan 2004, kita masuk sikit apa (aktiviti) yang kita buat. Jadi mereka memetik daripada laporan itu tetapi angkanya (yang diterbitkan dalam laporan semalam) kesemuanya dari tahun 2001."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.